Sukan Asia: Mohammad Syahir yakin kembali cergas, kem takraw sedia pelan B

Iklan
Mohammad Syahir bersama pemain-pemain sepak takraw kebangsaan melakukan kerja baik pulih gelanggang pada Program Ini Gelanggang Kita-Projek Komuniti STL 2026 di Gelanggang Sepak Takraw Kelab Tanjung Rimau AU3 Keramat, pada Sabtu. Foto Bernama

TEKONG utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi semakin menghampiri tahap kecergasan terbaik apabila kini berada pada sekitar 90 peratus dan yakin mampu mencapai kondisi kemuncak menjelang saingan sepak takraw Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan ini.

Mohammad Syahir berkata, prestasinya menunjukkan perkembangan positif, terutama dalam tempoh seminggu terakhir apabila mula mendapatkan semula kelajuan dan konsistensi servis selepas bergelut dengan kecederaan koyakan otot kaki kanan sejak Mei lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, baki masa yang ada akan digunakan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan memperbaiki servis sebelum berlepas ke temasya sukan empat tahun sekali itu.

"Berbeza dengan minggu lepas dan beberapa bulan sebelum ini, servis saya agak kurang konsisten. Alhamdulillah, minggu-minggu terakhir ini saya dapat balik dari segi balingan dan servis,” katanya ketika ditemui pada program Gelanggan Kita - Projek Komuniti Sepak Takraw League (STL) 2026 di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, tahap kecergasan Mohammad Syahir dilaporkan hanya berada pada kira-kira 70 peratus selepas mengalami kecederaan itu ketika Piala Dunia Sepak Takraw di sini.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun berkata, perkembangan anak buahnya itu semakin positif selepas menjalani beberapa siri pemulihan dan rawatan bersama Institut Sukan Negara (ISN).

Iklan

"Kalau kita lihat dari segi perkembangan Mohammad Syahir selepas beberapa siri pemulihan dan rawatan daripada pihak ISN, kita nampak pemulihannya semakin baik dan tahap kecergasan juga semakin meningkat...bagi saya, ini perkembangan sangat positif untuk Mohammad Syahir dan pasukan negara,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, barisan kejurulatihan bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN telah membincangkan beberapa pilihan sekiranya keadaan Mohammad Syahir tidak mengizinkan.

Jurulatih Lelaki Kebangsaan 2025 itu berkata, pertukaran pemain boleh dilakukan mengikut keperluan, dengan kem negara yang akan turun dalam acara regu dan regu berpasukan lelaki, kerana mahu memastikan semua pemain berada pada tahap konsisten sebelum saingan bermula.

PSM menetapkan sasaran dua pingat emas pada saingan sepak takraw Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 20 September hingga 3 Oktober di Gimnasium Nagoya City Mizuho Park.

Pada edisi Hangzhou 2022, Malaysia meraih pingat perak dalam acara regu dan regu berpasukan. - Bernama