RINGGIT dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pelabur kekal berhati-hati menjelang keputusan dasar utama oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank of Japan (BOJ).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan pada minggu depan adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuk AS (FOM) dan BOJ dengan kedua-dua bank pusat itu dijangka menaikkan kadar dasar masing-masing sebanyak 25 mata asas.
Pada masa sama, penggiat pasaran turut mengikuti rapat unjuran ekonomi terkini Fed bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi, kadar pengangguran serta dana Persekutuan, katanya kepada Bernama.
"Jangkaan kenaikan kadar oleh pihak Fed itu telah mempengaruhi sentimen dalam pasaran pertukaran asing dengan cenderung memberi sokongan terhadap dolar AS,” katanya.
Bersandarkan senario itu, Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil RM4.06 hingga RM4.08 berbanding dolar AS minggu depan.
Beliau berkata, perkembangan luaran, terutama lonjakan harga minyak mentah di tengah-tengah krisis AS-Israel-Iran, juga dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran.
"Ketegangan yang terus meruncing itu mendorong harga minyak mentah kira-kira AS$104.64 setong,” katanya.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS ke paras 4.0685/0725 daripada 4.0425/0465, seminggu sebelumnya.
Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain pada minggu ini.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4961/5015 daripada 5.4663/4717 minggu lepas, turun berbanding yen Jepun kepada 2.6400/6428 daripada 2.5832/5860 dan rendah berbanding euro kepada 4.7178/7225 daripada 4.6962/7008.
Selain itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2091/2125 daripada 3.1888/1923 seminggu sebelumnya dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.3072/3241 daripada 12.2693/2863.
Ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 231.0/231.3 daripada 229.1/229.4 dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.49/6.50 daripada 6.45/6.46 pada Jumaat lepas. - Bernama