Sebar dakwaan palsu simpanan TH: Azeez Rahim, keluarga sedia saman

Iklan
Abdul Azeez diiringi anggota polis selepas prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau memfitnah berhubung pertuduhan membabitkan bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) itu.

Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez mengulas mengenai hantaran media sosial yang timbul susulan pertuduhan terhadap ahli politik tersebut, termasuk desas-desus yang mengaitkan simpanannya bersama keluarga dengan dana TH.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu tidak didakwa mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan RM193.5 juta dana TH untuk kegunaan diri atau keluarga.

Peguam berkata, simpanan dalam akaun TH milik isteri dan anak-anak Abdul Azeez tiada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi bekas Pengerusi institusi kewangan Islam itu.

Iklan

Katanya, wang dalam akaun berkenaan juga bukan dana milik TH seperti yang didakwa atau digambarkan warga maya.

Menurutnya, kewujudan simpanan dalam akaun TH semata-mata tidak membuktikan wang berkenaan berasal daripada institusi tersebut.

Iklan

Sedangkan beliau berkata, akaun serta simpanan berkenaan pernah menjadi subjek siasatan pihak berkuasa sebelum ini namun, wang dalam tersebut tidak pernah dilucuthakkan oleh kerajaan.

Amer Hamzah berkata, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH yang telah didedahkan juga tidak membuat sebarang dapatan bahawa Abdul Azeez menyeleweng atau mengambil wang TH untuk dirinya atau ahli keluarganya.

Peguam berkata, sebarang gambaran bahawa simpanan dalam akaun TH keluarga anak guam merupakan wang yang ‘diambil’ daripada akaun itu atau bahawa RM193.5 juta tersebut telah disalurkan kepada mereka sekeluarga, adalah tidak tepat.

Beliau menjelaskan, pertuduhan terhadap Abdul Azeez yang dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini pada 8 September lalu, berkaitan dakwaan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan sebagai Pengerusi syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Katanya, jawatan berkenaan didakwa membawa manfaat berupa remunerasi tahunan, sebuah kenderaan serta seorang pemandu tetap.

Amer Hamzah menegaskan, pertuduhan tersebut tidak menyatakan sebarang dakwaan penyelewengan atau penyalahgunaan dana TH untuk manfaat peribadi Abdul Azeez atau keluarganya.

Menurutnya, jumlah RM193.5 juta yang dinyatakan dalam pertuduhan pula merujuk kepada nilai pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana dan bukannya wang yang didakwa diberikan kepada, diambil oleh atau dimasukkan ke akaun peribadi anak guamnya atau keluarganya.

Beliau berkata, Abdul Azeez telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan menegaskan dakwaan tersebut tidak benar.

“Anak guam telah memilih untuk membela diri dan mendapatkan perbicaraan penuh di mahkamah selain membersihkan namanya serta keluarga,” kata peguam tersebut.

Justeru, Amer Hamzah berharap semua pihak melaporkan perkara berkenaan berdasarkan fakta dan kandungan sebenar pertuduhan, selain menghormati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga perkara tersebut diputuskan Mahkamah.

Pada 9 September, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Pengerusi Lembaga TH, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan.

Ia membabitkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunirasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan satu kereta jenis BMW 7 Series termasuk seorang pemandu tetap.

Perbuatan itu didakwa dengan mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH dengan mencadangkan Abdul Azeez sebagai wakil TH dalam syarikat Putrajaya Perdana.

Ia termasuk meyakinkan ahli-ahli Lembaga TH semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan untuk melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam syarikat itu.