Bot nelayan ditemukan di dasar laut, Sabrie masih hilang

Iklan
Bot gentian kaca milik nelayan, Sabrie Rusli, 32, yang dilaporkan hilang di perairan Dungun sejak 27 Ogos lepas ditemukan di dasar laut. Foto Bernama

DUNGUN - Bot gentian kaca milik nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Dungun dekat sini sejak 27 Ogos lepas ditemukan di dasar laut perairan itu hari ini, namun mangsa, Sabrie Rusli, 32, masih belum dijumpai.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, bot berkenaan ditemukan pada kedalaman kira-kira 30 hingga 34 meter hasil usaha pencarian yang dilakukan oleh sekumpulan nelayan berdasarkan maklumat penemuan tali pelampung sauh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bot mangsa.

Iklan
Iklan

"Bot yang ditemukan tidak jauh dari lokasi dilaporkan terbalik dan hilang itu kemudiannya ditunda dengan bantuan sebuah lagi bot nelayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal dan pengesahan oleh pihak keluarga mendapati bot yang ditemukan itu adalah milik Sabrie yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Iklan

Nik Ab Halim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bot berkenaan pada 2.30 petang tadi dan telah memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selaku agensi penyelaras operasi mencari dan menyelamat untuk tindakan serta penilaian selanjutnya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pengkalan Nibong dekat sini petang tadi mendapati bot berkenaan telah dinaikkan ke darat bagi membolehkan pemeriksaan dan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Iklan

Bot gentian kaca itu juga didapati berada dalam keadaan baik termasuk enjin sangkut yang masih berada di bot berkenaan.

Pada 27 Ogos lepas, Bernama melaporkan seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol dekat sini.- Bernama