RINGGIT ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama, bagaimanapun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ia disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan jangkaan bahawa kenaikan kadar faedah berpotensi dinaikkan oleh Rizab Persekutuan (Federal) AS yang akan mengukuhkan mata wang AS.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0685/0725 berbanding dolar AS daripada 4.0630/0570 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan luaran, khususnya kenaikan mendadak harga minyak mentah susulan peningkatan ketegangan konflik melibatkan Israel dan Iran, terus mempengaruhi sentimen pasaran.
"Pada masa sama, jangkaan akan berlaku kenaikan kadar faedah oleh Federal AS turut mencorakkan sentimen dalam pasaran pertukaran asing, sekali gus menyokong nilai dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, tumpuan pasaran kini akan beralih kepada keputusan kadar faedah Federal AS dan unjuran ekonomi terbaharunya, termasuk jangkaan bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi, pengangguran serta kadar dana persekutuan.
Pada penutupan, ringgit tinggi diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.7178/7225 daripada 4.7269/7315, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6400/6428 daripada 2.6431/6459 dan menokok berbanding pound Britain 5.4961/5015 daripada 5.5046/5100 sebelum itu.
Ringgit juga tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.2091/2125 daripada 3.2113/2148, melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.3072/3241 daripada 12.3331/3497, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 231.0/231.3 daripada 231.5/231.8 sebelumnya.
Dalam pada itu, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.49/6.50. - Bernama