KUALA LUMPUR - Dua kerusi yang dimenangi calon Puteri UMNO di Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar angka untuk dibanggakan, sebaliknya perlu menjadi permulaan kepada pembinaan lebih ramai pemimpin muda yang mampu diketengahkan parti pada pilihan raya akan datang.
Exco Puteri UMNO, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim menegaskan, kemenangan itu membuktikan wanita muda mampu meraih kepercayaan rakyat apabila diberi ruang, tanggungjawab dan peluang untuk membuktikan kemampuan.
Menurut beliau, kejayaan dua wakil Puteri UMNO di Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya dilihat sebagai had kepada potensi barisan berkenaan.
"Dua bukan siling dan dua juga bukan tiket untuk kami meminta lebih secara automatik.
"Dua ialah bukti bahawa apabila seseorang calon dibina, diberikan ruang, bekerja dan mendapat penerimaan rakyat, wanita muda juga boleh menang," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia di sini pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu berkata, tumpuan selepas ini bukan sekadar kepada jumlah kerusi yang boleh diberikan kepada Puteri UMNO, sebaliknya kepada persiapan barisan kepimpinan seterusnya.
Tambah beliau, pemimpin muda tidak lahir hanya melalui teori, sebaliknya perlu dibina menerusi tanggungjawab, diuji dengan amanah dan diperkasa melalui peluang.
"Johor dan Negeri Sembilan telah menunjukkan bahawa apabila peluang diberikan, calon Puteri juga mampu meraih kepercayaan rakyat.
"Maka, kami berharap Melaka nanti menjadi satu lagi medan untuk keyakinan itu diteruskan. Lihatlah siapa berpotensi dan layak. Kalau dia layak, nilailah dia," katanya lagi.
Pada masa sama, Nadhirah Afiqah berkata, UMNO perlu fokus untuk mencetuskan kebangkitan sebenar bagi memperoleh semula kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Cara kita mendekati rakyat, membina pemimpin dan memahami generasi baharu mesti sentiasa bergerak bersama zaman. Walaupun kita telah mendahului dinamika politik, kita tidak boleh terlalu cepat berasa selesa.
"Rakyat tetap akan menilai kita semula. Dan setiap undi tetap perlu kita perjuangkan. Rakyat tidak berhutang kepercayaan kepada mana-mana parti. Setiap kali kita turun kepada mereka, kepercayaan mereka perlu diperoleh semula... sebab itu, perjuangan kita belum selesai," ujar beliau.