AYUTTHAYA - Seorang ketua sami sebuah kuil terkenal di Ayutthaya, Thailand ditahan selepas disyaki menyeleweng kira-kira 100 juta baht (RM12.2 juta) dana kuil, selain terbabit dalam skandal seks bersama pembantu wanitanya.
Polis menyerbu kediaman Phra Vajirayan, 66, yang turut dikenali sebagai Luang Por Chot di Wat Phutthaisawan pada kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan pada Khamis.
Siasatan bermula selepas pihak berkuasa menerima aduan mendakwa ketua sami itu menyeleweng dana kuil sebelum menyerahkan wang berkenaan kepada seorang wanita untuk disembunyikan menggunakan nama individu lain.
Menurut polis, siasatan menemukan bukti menyokong dakwaan berkenaan.
Sepanjang tempoh lebih dua tahun, suspek didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan menggunakan nama kuil tanpa kebenaran sehingga menyebabkan kerugian kira-kira 100 juta baht.
Polis turut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman suspek dan mendakwa menemukan rakaman menunjukkan beliau melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di atas meja di dalam biliknya.
Wanita berusia 47 tahun, Punyavee Rungrueang yang dipercayai membantu menguruskan wang berkenaan turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
Polis mendapati puluhan juta baht dipercayai mengalir melalui akaun bank wanita itu setiap tahun.
Siasatan turut mendapati bekas ketua sami berkenaan disyaki menyeleweng hasil jualan azimat dan barangan keagamaan.
Wang berkenaan didakwa tidak dimasukkan ke akaun kuil, sebaliknya disalurkan melalui sebuah yayasan dan dipindahkan ke akaun peribadi.
Selepas ditahan, Phra Vajirayan dilucutkan status sebagai sami dan kembali menggunakan nama asalnya, Atichote Thammavaro sebelum dibawa ke dalam tahanan polis. - Agensi