SHAH ALAM - Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 hari ini seolah-olah pengisytiharan perang politik yang cukup berani.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau catat beberapa kesimpulan penting daripada ucapan tersebut yang bertajuk 'Melakar Masa Depan Bangsa'.
Menurutnya, paling menarik, tanpa segan silu Ahmad Zahid menyebut, ‘cukuplah guru, berhentilah'.
"Tidak perlu terlalu berselindung untuk membaca kepada siapa sindiran itu ditujukan. Saya mendengar ucapan itu seperti pengisytiharan perang politik.
"Selain itu, jelas dan terang Ahmad Zahid menyindir Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila menyebut bahawa kita bukan kerajaan yang berjanji, ‘hari ini menang, esok semua masalah selesai’," katanya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, UMNO bersetuju menjemput barisan pemimpin tertinggi Pas untuk menghadiri PAU 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 September sebagai membalas jemputan Pas kepada pimpinan parti berkenaan.
UMNO dan Pas sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama politik secara rasmi menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 2019.
Tambah Ahmad Fadhli, kebetulan tarikhnya pula cukup simbolik, genap 25 tahun selepas World Trade Center ( WTC) di Amerika Syarikat diserang pada 11 September 2001.
Jelas Beliau, bezanya, 25 tahun lalu WTC di New York menjadi medan serangan fizikal.
"Hari ini WTC Kuala Lumpur menjadi pentas kepada satu serangan politik.
"Kepada siapa perang itu diisytiharkan? Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya," ujarnya.
Ahmad Fadhli turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO atas jemputan dan sambutan mesra kepada Pas.
"Hadir kali pertama di PAU pagi ini merupakan satu kesempatan penting untuk menyaksikan sendiri majlis yang saya sifatkan penuh bersejarah," katanya.