KUALA LUMPUR - Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 boleh diibaratkan sebagai amanat daripada ‘prime minister in waiting’.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ berpandangan, ucapan Ahmad Zahid memberi gambaran dan hala tuju yang jelas buat UMNO serta Barisan Nasional (BN) dalam mendepani pilihan raya.
"Ini ucapan yang jelas tentang hala tuju UMNO dan BN untuk pilihan raya akan datang.
"Rumusan daripada ucapan ini, ia umpama ucapan ‘prime minister in waiting’ dan ‘government in waiting’, ya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika berucap dalam PAU 2026 mengulangi tuntutan agar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diawalkan.
Pengerusi BN itu yakin parti menerusi gelombang biru akan menerajui mandat baharu untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berpendapat bahawa hala tuju UMNO-BN kini bergantung sepenuhnya kepada keupayaan kepimpinan Ahmad Zahid agar parti itu mampu melakukan lonjakan semula yang lebih kukuh.
Pada hemat beliau, perjalanan sesebuah parti ada kalanya berdepan saat jatuh dan bangun seperti yang dilalui UMNO lapan tahun lalu, sekali gus membuktikan wujudnya roda putaran dalam politik.
“Masa kita naik, kita ditatang, dipuji dan disokong. Tetapi, masa kita turun lapan tahun sebelum ini, kita dicemuh, diserang bahkan difitnah.
"Semua ini disebut oleh Presiden sebagai pengajaran untuk memberikan kita kekuatan.
“Sekarang terserah kepada pemimpin parti untuk menentukan putaran itu terus menghala ke atas,” ujarnya lagi.