TANAH MERAH – Galeri Peranakan Cina Kelantan di Jalan Wan Ahmad di sini dicadang dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bagi memperkenalkan warisan unik masyarakat itu kepada pelancong tempatan dan luar negara.
Cadangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim ketika merasmikan Mini Karnival Peranakan Cina Kelantan 2026 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, galeri berkenaan mempunyai nilai sejarah dan warisan yang wajar diketengahkan terutama dalam usaha memperkenalkan keunikan Peranakan Cina Kelantan kepada masyarakat lebih luas.
“Saya menyeru pihak pelancongan Kelantan supaya dapat membantu agar warisan sebegini dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 supaya dapat dipertontonkan oleh pelancong sama ada dalam Malaysia mahupun dari luar negara,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, keunikan Peranakan Cina Kelantan terletak pada gabungan budaya masyarakat Cina dengan pengaruh masyarakat tempatan di Kelantan yang membentuk identiti tersendiri.
Katanya, antara unsur yang menarik ialah penggunaan dialek Melayu Kelantan yang begitu asli selain pakaian, makanan dan adat yang memperlihatkan proses asimilasi dengan budaya setempat.
“Uniknya masyarakat Peranakan Cina Kelantan ini sebenarnya adalah gabungan budaya daripada kaum Cina dan Siam yang berada di Kelantan.
“Mereka fasih bercakap dialek Kelantan dan memakai kebaya bersulam serta berkain batik dari budaya Melayu bahkan mereka juga gemar makan budu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong berkata, galeri diwujudkan pada 2017 itu sebagai usaha memperkenalkan sejarah dan warisan masyarakat Peranakan Cina Kelantan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, galeri tersebut menghimpunkan pelbagai elemen termasuk sejarah dan asal-usul, geografi, bahasa, resam serta makanan masyarakat berkenaan.
“Kalau sesiapa yang di luar sana nak tahu mengenai Peranakan Cina di Kelantan secara terperinci, boleh datang ke galeri,” katanya.
Katanya, PPCK akan terus mengadakan program berkaitan warisan tersebut supaya tradisi yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak dilupakan.
“Perjuangan kami supaya tidak ketinggalan zaman dan tidak terhenti begitu sahaja kerana tradisi ini semakin dilupai.
“Mungkin juga akan terhenti sekiranya kami semua tidak mengambil tempat untuk mempromosi dan mengetengahkan serta mengekalkan adat-adat kami kepada generasi seterusnya,” katanya.