KLK Land buka Coalfields Retail Park, sasar 5 juta pengunjung setahun

Iklan
Wen Ling (lapan dari kiri) bersama wakil syarikat jenama terkenal yang beroperasi di Coalfields Retail Park.

KLK Land Sdn Bhd (KLK Land), cabang pembangunan hartanah Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), secara rasmi membuka Coalfields Retail Park, pembangunan runcit pertama syarikat itu yang dijangka menjadi hab gaya hidup dan komuniti baharu bagi Bandar Seri Coalfields serta kawasan Greater North Klang Valley.

Majlis perasmian tersebut turut menandakan pencapaian penting apabila Coalfields Retail Park berjaya mencatat kadar penghunian sebanyak 90 peratus semasa pelancarannya.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan KLK Land, Lee Wen Ling berkata, pembangunan itu direka khusus untuk memenuhi keperluan komuniti setempat yang semakin berkembang.

"Coalfields Retail Park merupakan mercu tanda penting bagi KLK Land dan pertumbuhan berterusan Bandar Seri Coalfields.

Iklan

"Ia dibangunkan dengan teliti untuk meningkatkan kualiti kehidupan komuniti sekitar. Selain kediaman, masyarakat memerlukan ruang untuk berkumpul, berehat, meraikan detik istimewa dan menjalani kehidupan harian bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terletak di atas kawasan seluas 21 ekar dengan keluasan binaan kasar sekitar 1 juta kaki persegi, pusat runcit berkonsepkan hibrid dalaman dan luaran setinggi dua setengah tingkat itu menempatkan lebih daripada 100 jenama peruncitan, makanan dan minuman, hiburan, kesihatan serta gaya hidup.

Iklan

Pembangunan tersebut dijangka menarik kira-kira 5 juta pengunjung setiap tahun, khususnya dalam kalangan keluarga muda.

Dalam masa yang sama, Coalfields Retail Park turut menonjolkan komitmen KLK Land terhadap kelestarian alam sekitar apabila ia dihubungkan secara langsung dengan taman tasik seluas tujuh ekar serta menerima pensijilan GreenRE Gold (Provisional) bagi kategori bangunan bukan kediaman.

Bandar Seri Coalfields yang meliputi kawasan pembangunan seluas 1,000 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM5.5 bilion merupakan sebahagian daripada pelan induk pembangunan KLK Land seluas 6,000 ekar.

Bagi menyokong pertambahan trafik pengunjung dan pembangunan masa hadapan, KLK Land turut melaksanakan beberapa penambahbaikan infrastruktur termasuk kerja pelebaran jalan secara berperingkat di sepanjang Laluan Persekutuan 54 serta peningkatan kemudahan pejalan kaki di seluruh perbandaran itu.

Coalfields Retail Park menawarkan pelbagai tarikan termasuk taman permainan kanak-kanak dalaman Harborland dan Blue Ice Skating Rink, selain menempatkan kedai konsep Skechers terbesar di Asia Tenggara serta hab kesihatan CIRCADIAN oleh Kenny Hills Group.

Pilihan makanan dan minuman pula diserikan dengan pembukaan pertama Serai Ikan Bakar, di samping jenama popular seperti McDonald's, Hock Kee Kopitiam, Lisette's Bakery & Café, ParaThai, Fish & Co. dan Lavender Bakery.

Segmen peruncitan dan keperluan harian dipacu oleh Village Grocer sebagai penyewa utama, manakala antara jenama lain yang beroperasi di pusat itu termasuk Decathlon, Harvey Norman, KKV, Toys"R"Us, MR DIY, Samsung, Babyshop dan cawangan pertama Maybank di kawasan berkenaan.

Sementara itu, sambutan pembukaan Coalfields Retail Park bermula pada 10 September dengan persembahan artis terkenal Jaclyn Victor, diikuti siaran luar ERA yang menampilkan Munaabella dan persembahan khas Wani Kayrie pada 11 September.

Pengunjung juga boleh menikmati Karnival Pembukaan sehingga 27 September serta pelbagai promosi istimewa sehingga 30 September.

Menurut Lee, pembukaan Coalfields Retail Park hanyalah permulaan kepada aspirasi syarikat untuk menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.

"Kami mahu mewujudkan ruang yang menyatukan komuniti dan mencipta kenangan bermakna, sejajar dengan konsep 'Joy Happens Here'," katanya.