Selangor umum 25 Oktober cuti peristiwa sempena Jubli Perak Sultan Selangor

Iklan
Sultan Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan 25 Oktober depan sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh negeri sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, memandangkan tarikh itu jatuh pada Ahad, hari berikutnya iaitu Isnin, 26 Oktober 2026 ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sambutan Jubli Perak itu akan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November depan sebagai tanda taat setia, penghormatan dan kesyukuran pentadbiran negeri serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan Sultan Selangor.

"Acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 Oktober bersempena genap 25 tahun pemerintahan baginda dan melibatkan tiga istiadat utama.

Iklan

"Antaranya Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan, Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato' Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Fadzli berkata, sebanyak 20 program dan majlis rasmi disusun sepanjang tempoh sambutan yang merangkumi aspek kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan sukan.

Iklan

Beliau memberitahu, pengisian berkenaan membabitkan kerjasama jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri (GLC) serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Kerajaan Negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran.

"Kerajaan negeri turut mendoakan keseluruhan atur cara yang dirangka berjalan lancar dan diberkati, seterusnya menjadi detik bersejarah yang memperkukuh ikatan kasih antara Raja dan rakyat di Selangor," ujar beliau.

Antara program utama yang bakal berlangsung termasuk Program Menyantuni Anak-Anak Yatim Kembara Semenanjung, Perasmian Taman Mesra Autisme, Program Larian Kita dan Majlis Jamuan Teh Diraja.

Turut diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam selain pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta buku Menjulang Takhta.

Dalam bidang sukan dan pembangunan bakat pula, program dijadualkan termasuk Majlis Perasmian Kelab Polo dan Ekuestrian Selangor, Kejohanan Polo Piala Jubli Perak Sultan Selangor serta Perlawanan Liga Bola Sepak Bawah 15 Tahun.

Rangkaian sambutan itu akan melabuhkan tirainya pada 1 November 2026 menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato' Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.