Kos haji 2027 kekal: Jemaah muassasah B40 hanya bayar RM15,000 - TH

Iklan
TH masih mengekalkan kos haji bagi tahun 2027 pada RM33,300 seorang dan kadar bayaran haji jemaah muassasah untuk empat tahun berturut-turut .

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos haji pada RM33,300 seorang dan kadar bayaran haji jemaah muassasah bagi musim haji tahun depan sekali gus menyaksikan kadar sama dikekalkan untuk tahun keempat berturut-turut.

TH dalam kenyataannya memaklumkan, pengekalan kadar itu dicapai menerusi pengurusan kewangan berdisiplin, perancangan awal, rundingan strategik serta perjanjian jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan, langkah itu penting bagi menghadapi tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kos perkhidmatan di Tanah Suci.

"TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar dengan peruntukan kira-kira RM234 juta bagi membantu bakal jemaah daripada kumpulan B40 dan M40.

Iklan

"Jemaah M40 pula dikenakan bayaran haji RM23,500 dengan menerima HAFIS sebanyak RM9,800 atau 29 peratus daripada kos haji, manakala kumpulan T20 dengan pendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu membayar kos penuh RM33,300 seorang," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kemampuan mengekalkan kos haji dan bantuan kewangan itu pada masa sama meningkatkan kualiti perkhidmatan disokong kedudukan institusi yang semakin kukuh.

Iklan

Menurutnya, ia hasil pengurusan kewangan berdisiplin, pengurusan risiko yang dipertingkatkan serta penambahbaikan tadbir urus secara berterusan.

"Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia sebanyak 31,600 orang.

"Penetapan lebih awal memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan kewangan, kesihatan dan ilmu dengan lebih teratur," tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, hampir 90 peratus daripada kos haji berkaitan penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.

Katanya, TH berjaya mengekalkan kos itu antaranya menerusi kontrak penerbangan jangka panjang selama lima tahun bagi mengawal risiko ketidaktentuan harga.

"Cabaran besar kini adalah peningkatan harga dan kos pembekalan minyak susulan konflik Timur Tengah," jelas beliau.

Beliau berkata, TH turut berjaya menurunkan kos penyewaan hotel baharu yang lebih berkualiti menerusi rundingan secara terus, sekali gus membantu mengekang kesan peningkatan inflasi dan kos perkhidmatan atau kemudahan baharu di Tanah Suci.

"Ini bukan sekadar soal mengekalkan angka, tetapi bagaimana kita merancang lebih awal, mengurus risiko dan menggunakan kecekapan operasi TH untuk memberikan nilai terbaik kepada jemaah," jelas beliau.

Dalam pada itu, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 21 September ini.

Bakal haji perlu memastikan simpanan di TH sekurang-kurangnya RM15,000 bagi melayakkan diri menerima surat tawaran haji selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.

TH turut akan menganjurkan Kursus Asas Haji di lebih 200 masjid di seluruh negara mulai 25 September ini bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan ilmu sebelum menunaikan ibadah haji.

Bakal haji juga dinasihatkan mengemas kini maklumat peribadi dan membuat semakan giliran melalui THiJARI atau cawangan TH terdekat.