Jepun iktiraf keupayaan pusat rehabilitasi PERKESO, mahu perkukuh kerjasama teknologi

Iklan
Jepun memuji pendekatan holistik Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah yang bukan sahaja menyediakan rawatan rehabilitasi, malah latihan vokasional serta kaunseling bagi membantu pesakit kembali bekerja.

IPOH - Kerajaan Jepun mengiktiraf keupayaan serta kecanggihan Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di sini yang disifatkan sebagai antara fasiliti terbaik pernah dilihat.

Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, Ueno Kenichiro berkata, pusat rehabilitasi berkenaan bukan sahaja berorientasikan pemulihan pesakit, malah dilengkapi teknologi maju termasuk peralatan neuro-robotik berasaskan sistem sibernik dari Jepun.

Iklan
Iklan

"Saya sangat kagum kerana ini adalah fasiliti yang amat maju dan canggih. Malah, di Jepun sendiri, sukar untuk mencari fasiliti seperti ini dalam skala yang begitu besar," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan rasmi ke pusat berkenaan pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal; Ahli Lembaga PERKESO, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr Hafez Hussain.

Iklan

Lawatan itu diadakan bersempena penyertaan Kenichiro dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 September.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki serta delegasi daripada Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.

Iklan

Mengulas lanjut, Kenichiro berkata, lawatan itu antara lain bertujuan meninjau penggunaan teknologi Hybrid Assistive Limb (HAL) yang dibangunkan di Jepun serta aplikasinya dalam sistem rehabilitasi di Malaysia.

Katanya, setakat ini pusat tersebut memiliki kira-kira 62 unit peralatan HAL yang digunakan bagi membantu proses pemulihan pesakit.

"Saya gembira melihat teknologi dari Jepun dimanfaatkan di sini dan berharap lebih banyak fasiliti di Malaysia dapat memperkenalkan teknologi ini agar lebih ramai pesakit mendapat manfaat," katanya.

Beliau turut memuji pendekatan holistik pusat berkenaan yang bukan sahaja menyediakan rawatan rehabilitasi, malah latihan vokasional serta kaunseling bagi membantu pesakit kembali bekerja.

"Saya berharap hubungan Malaysia-Jepun dapat terus diperkukuh, khususnya dalam bidang teknologi, kepakaran dan pembangunan sumber manusia," katanya.

Sementara itu, Mohd Annuar berkata, lawatan berkenaan menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.

Menurutnya, pihak PERKESO berharap kerjasama melibatkan pertukaran teknologi, kepakaran dan tenaga kerja dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.

"Kita amat berbesar hati kerana beliau meluangkan masa kira-kira lima jam dari Kuala Lumpur ke Ipoh untuk melawat pusat ini, sekali gus menunjukkan pengiktirafan terhadap keupayaan PERKESO," katanya.

Beliau berkata, lawatan itu juga merupakan kunjungan pertama oleh menteri luar negara ke pusat rehabilitasi berkenaan.

"Ini satu kebanggaan kepada negara dan kita berharap hubungan dengan Jepun akan terus diperkukuh demi manfaat bersama," katanya.

Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah yang terletak di Meru Raya ini mula beroperasi pada Julai 2025 dan secara rasmi dimasyhurkan sebagai pusat rehabilitasi neuro-robotik dan sibernik terbesar di Asia Tenggara.

Untuk rekod, sejak 2025 hingga Ogos 2026, sebanyak 75.11 peratus pesakit yang menerima rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi PERKESO di seluruh negara berjaya kembali bekerja, melibatkan pesakit dengan pelbagai kes seperti kecederaan muskuloskeletal, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit seperti strok.