Bapa 7 anak curi 65 barang termasuk makanan didenda RM2,000

Iklan
Seorang pembantu pentadbiran di sebuah syarikat penghantaran bateri kenderaan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat kerana mencuri 65 barangan bernilai lebih RM700 tahun lalu.

SHAH ALAM – Seorang pembantu pentadbiran di sebuah syarikat penghantaran bateri kenderaan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencuri 65 barangan bernilai lebih RM700 di sebuah pasar raya, tahun lalu.

Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Aslizan Mustafa Maarof, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan mahkamah.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu didakwa mencuri pelbagai barangan bernilai RM730.97 di sebuah premis di Subang Jaya pada jam 7 malam, 20 Disember 2025.

Iklan

Antara barangan yang dilaporkan dicuri termasuk majalah Upin & Ipin, kek lapis Sarawak ikan nyok-nyok seberat lapan kilogram, ubat gigi, minyak angin bayi, penyembur nyamuk, kiub pati ayam, jamu serta putik kapas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Vijeswari Devi, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda tanpa pemenjaraan terhadap anak guamnya.

“Tertuduh mempunyai masalah jantung dan perlu menyara keluarganya, termasuk anak sulung yang merupakan penghidap autisme.

“Dia juga bersedia membayar pampasan sekiranya bon tidak dibenarkan dan memohon hukuman denda pada kadar minimum,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon mahkamah mempertimbangkan supaya tertuduh membayar pampasan kepada pasar raya yang terlibat.