26 pelajar terkorban dalam kebakaran di timur DR Congo

Iklan
Kebakaran itu berlaku di sebuah kawasan kejiranan di Bukavu, memusnahkan beberapa rumah sebelum merebak dengan pantas ke dua sekolah rendah berhampiran. Foto: Joseph Amani Alimasi / AFP

KINSHASA - Angka korban akibat kebakaran yang berlaku di Bukavu, ibu negeri Wilayah Kivu Selatan di timur Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada Khamis meningkat kepada 26 orang, menurut media tempatan, lapor Xinhua.

Laporan media menyatakan bahawa mayat 26 pelajar sekolah rendah dibawa ke hospital tempatan, manakala pelajar lain yang mengalami masalah akibat terhidu asap sedang menerima rawatan di beberapa hospital.

Iklan
Iklan

Jurucakap kumpulan Pergerakan 23 Mac (M23), Lawrence Kanyuka yang kini menguasai Bukavu berkata seramai 29 individu lagi cedera, termasuk 21 yang menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Beliau berkata, kebakaran itu berlaku di sebuah kawasan kejiranan di bandar berkenaan, memusnahkan beberapa rumah sebelum merebak dengan pantas ke dua sekolah rendah berhampiran.

Iklan

Pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian dan kemudiannya berjaya mengawal kebakaran itu, sekali gus menghalangnya daripada terus merebak ke bangunan kediaman lain.

Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan, Moise Lubala berkata sekurang-kurangnya 80 buah rumah terbakar, menjejaskan 96 isi rumah, manakala 16 lagi rumah dirobohkan untuk mewujudkan penghalang api bagi mencegah kebakaran daripada terus merebak.

Iklan

Kementerian Pendidikan Kebangsaan dan Kewarganegaraan Baharu Congo dalam satu kenyataan memaklumkan kebakaran itu mengakibatkan ramai terkorban dan cedera, termasuk pelajar.

Kementerian itu turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan mengenai keadaan dan punca kebakaran berkenaan. - Bernama