1,390 lot bazar Ramadan menanti peniaga di Petaling Jaya

Iklan
Info grafik mengenai permohonan permit tapak bazar Ramadan 2027

PETALING JAYA - Sebanyak 1,390 lot bazar Ramadan di 20 lokasi sekitar Petaling Jaya dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan pada Ramadan tahun depan.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan, permohonan permit tapak bazar Ramadan 2027 dibuka secara dalam talian menerusi portal eLesen MBPJ mulai Jumaat hingga 25 September ini.

Iklan
Iklan

Menurut MBPJ, daripada jumlah keseluruhan lot itu, dua lokasi baharu diperkenalkan iaitu di Masjid Al-Husna, Jalan PJS 10/22 dengan 85 tapak.

"Sebanyak 12 tapak lagi disediakan di Tempat Letak Kereta (TLK) Medan Selera Dato' Harun MBPJ, Jalan 12," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

MBPJ menjelaskan, pelaksanaan permohonan permit secara dalam talian sudah dilaksanakan sepenuhnya sejak 2020 bagi memudahkan urusan orang ramai selain mempercepatkan proses pengendalian permit.

"Langkah itu juga bertujuan meminimumkan risiko manipulasi serta penglibatan pihak ketiga dalam urusan permohonan tapak bazar Ramadan.

Iklan

"Bagi membantu pemohon yang menghadapi kesukaran menggunakan sistem dalam talian, khususnya warga emas dan mereka yang tidak mempunyai akses internet, MBPJ menyediakan kaunter bantuan di Lobi Menara MBPJ sepanjang tempoh permohonan," tambah kenyataan itu.

MBPJ memaklumkan, pemohon yang mendapatkan bantuan secara bersemuka perlu membawa dokumen berkaitan termasuk salinan kad pengenalan, gambar berukuran pasport, bil utiliti, sijil suntikan tifoid (TY2), sijil kursus pengendalian makanan, maklumat akaun bank serta kod QR pembayaran tanpa tunai.

"MBPJ turut menasihatkan pemohon supaya menyemak terlebih dahulu lokasi yang ditawarkan dan memastikan semua dokumen serta maklumat yang diperlukan lengkap sebelum mengemukakan permohonan.

"Pemohon juga perlu mematuhi semua syarat dan ketetapan permit tapak bazar Ramadan 2027 bagi memastikan proses permohonan berjalan lancar," jelas kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Pelesenan, Pembangunan Perniagaan dan Usahawan MBPJ menerusi talian 03-7954 1560 atau 03-7956 3231.