KUALA PERLIS - Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan kerana disyaki bertindak sebagai transporter dalam cubaan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan terpencil berhampiran kawasan perairan di sini pada awal pagi Khamis.
Dalam operasi Op KUTIP pada jam 3 pagi, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis turut menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di Malaysia.
Pengarah JIM Perlis, Mohammad A'sim Md Ali berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan Bahagian Perisikan bersama Bahagian Penguatkuasaan jabatan berkenaan.
Menurutnya, pasukan penguat kuasa mengesan pergerakan mencurigakan membabitkan dua individu berhampiran sebuah kenderaan jenis sedan sebelum pemeriksaan dan serbuan dilakukan.
“Hasil tindakan berkenaan, seorang lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai transporter serta seorang lelaki warga Myanmar ditahan.
“Siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dipercayai menggunakan laluan terpencil berhampiran kawasan perairan bagi memindahkan PATI,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Katanyanya, lelaki warga Myanmar pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Turut disita sebuah kenderaan jenis sedan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut, sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambah Mohammad A'sim, JIM Perlis menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu sama ada warga tempatan mahupun warga asing yang disyaki menjadi dalang, pengangkut, pelindung atau membantu kegiatan penyeludupan migran dan PATI.
Menurutnya, tindakan tegas berlandaskan peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman negara terus terpelihara.