Tambang ECRL biarlah ikut kemampuan rakyat

Iklan
ECRL kini memasuki fasa penting dengan bermulanya Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR) bagi jajaran Kota Bharu, Kelantan hingga Gombak, Selangor. Foto Bernama

LALUAN Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membuka lembaran baharu dalam sistem pengangkutan awam negara.

Dengan perjalanan Kota Bharu ke Gombak dijangka hanya mengambil masa sekitar empat jam, projek ini bukan sekadar menawarkan kemudahan rel moden, malah berpotensi mengubah cara rakyat Pantai Timur bergerak, bekerja dan belajar.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik keterujaan menanti operasi ECRL yang dijangka bermula Disember ini, satu persoalan paling dekat dengan pengguna masih menjadi tanda tanya, berapakah tambangnya?

Kadar rasmi tambang ECRL dijangka diumumkan hujung tahun ini selepas proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan.

Iklan

Justeru, segala angka yang berlegar di media sosial tidak seharusnya dianggap sebagai kadar sebenar.

Apa yang penting, penetapan tambang perlu mengambil kira kemampuan rakyat. Pengangkutan awam yang baik bukan hanya pantas, selesa dan moden, tetapi mesti mampu digunakan oleh sebanyak mungkin lapisan masyarakat.

Iklan

Bagi pelajar, pekerja muda, keluarga berpendapatan sederhana dan mereka yang kerap berulang-alik antara Pantai Timur dengan Lembah Klang, harga tiket pastinya menjadi pertimbangan utama.

Jika terlalu mahal, tidak mustahil rakyat terus memilih bas, kereta persendirian atau perkhidmatan lain yang dirasakan lebih berbaloi.

Sebab itu, jangan sampai kita memiliki kereta api yang mampu bergerak laju tetapi rakyat terpaksa berfikir panjang sebelum mampu menaikinya.

ECRL bukan sekadar projek mega atau simbol kemajuan negara, ia dibina untuk rakyat. Maka, manfaatnya juga mesti dapat dirasai rakyat.

Kereta api boleh bergerak pada kelajuan 160 kilometer sejam, tetapi kejayaan sebenar ECRL bukan diukur pada kelajuannya semata-mata tapi sejauh mana rakyat mampu menggunakannya.

Biarlah ECRL laju di landasan tetapi tambangnya tetap dekat dengan kemampuan rakyat dan itulah ukuran sebenar sama ada ECRL menjadi pilihan utama rakyat.