SUATU ketika dahulu, Magdelina Joachim hanya mampu berharap agar mempunyai kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan sendiri secara berterusan.
Dengan pendapatan daripada pemasaran afiliat yang tidak menentu, wanita berusia 30 tahun itu sering berdepan ketidakpastian dalam mencari rezeki dari rumah.
Ada kalanya beliau memperoleh pendapatan yang memuaskan, namun tidak kurang juga masanya berlalu tanpa sebarang hasil.
Keadaan itu menyebabkan Magdelina sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan taraf hidupnya dan pada masa sama memiliki kemahiran yang boleh memberikan sumber pendapatan lebih stabil dalam jangka panjang.
"Kadang-kadang ada pendapatan, kadang-kadang tiada. Dalam hati, saya memang mahu mempunyai kemahiran yang boleh dijadikan sumber rezeki sendiri secara lebih konsisten.
"Saya juga menyimpan hasrat untuk belajar menjahit, tetapi ketika itu saya belum mempunyai mesin dan peralatan yang sesuai. Keadaan itu membuatkan saya berasa terbatas dan kurang yakin dengan kemampuan diri," katanya kepada Sinar Bisnes.
Namun, siapa sangka impian yang sekian lama dipendam akhirnya menjadi titik perubahan besar dalam kehidupannya.
Hari ini, kemahiran jahitan dan anyaman yang dipelajari bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu buat dirinya, malah membantu meningkatkan pendapatannya hampir 80 peratus berbanding ketika hanya bergantung kepada pemasaran afiliat.
Bagi anak jati Kampung Batu Lunguyan, Sabah itu, peluang mengikuti latihan kemahiran telah memberikannya keyakinan untuk meneroka potensi diri yang selama ini terpendam.
Lebih bermakna, sebagai seorang orang kurang upaya (OKU) kerdil, beliau kini membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk membina kehidupan yang lebih baik apabila diberikan peluang serta sokongan yang sewajarnya.
Perubahan tersebut bermula apabila Magdelina menyertai Kursus Jahitan Anyaman yang dilaksanakan oleh Komuniti Kraf Kelarai Sook dengan kerjasama SOSEA serta ditaja oleh Yayasan Axiata.
Beliau turut menerima manfaat menerusi Program Pembangunan Kemahiran Komuniti anjuran Koperasi Kraf Batu Lunguyan yang ditaja oleh Yayasan Hasanah.
Menurut Magdelina, antara detik yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila beliau menerima mesin jahit industri untuk pertama kalinya.
"Apabila pertama kali melihat mesin jahit industri, perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah, 'Inilah pintu rezeki saya.'
"Walaupun ada rasa takut, berdebar dan kurang yakin kerana belum mahir menggunakannya, saya cuba melihatnya sebagai satu permulaan baharu dalam hidup," katanya.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda pemerkasaan komuniti yang menyokong matlamat GEAR-uP (Government-Linked Enterprises Activation and Reform Programme), program yang dilancarkan Kementerian Kewangan pada Ogos 2024 bagi memastikan kekuatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
Melalui program tersebut, peserta bukan sahaja memperoleh latihan kemahiran, malah diberikan akses kepada peralatan dan peluang untuk menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan komuniti masing-masing.
Bagi Magdelina, bantuan yang diterima bukan sekadar menyediakan kemahiran baharu, tetapi membuka lembaran kehidupan yang lebih yakin, berdikari dan berdaya saing.
Kini beliau menumpukan perhatian kepada penghasilan produk kraf anyaman seperti dompet syiling, sarung telefon dan bekas pensel, selain menerima tempahan jahitan daripada pelanggan sekitar.
Hasil usahanya itu mula mendapat sambutan menggalakkan kerana menggabungkan nilai warisan tempatan dengan kegunaan harian, sekali gus membuktikan bahawa peluang yang diberikan melalui program pembangunan komuniti mampu mengubah kehidupan seseorang secara nyata.