Menteri, KSU berkaitan boleh dipanggil bantu siasatan kes baja di Kedah - KP SPRM

Iklan
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada Sidang Media Khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memanggil menteri dan ketua setiausaha (KSU) kementerian berkaitan sekiranya perlu bagi membantu siasatan berhubung isu kelewatan pembekalan baja kepada kira-kira 60,000 pesawah di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, arahan telah dikeluarkan agar siasatan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua pihak yang mempunyai kaitan dengan aspek dasar, pelaksanaan serta proses tender pembekalan baja tersebut.

Iklan
Iklan

"Bukan sahaja ketua setiausaha, menteri juga, jika perlu kita akan panggil, arahan saya kepada pegawai penyiasat ialah supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana perkara yang perlu disiasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perkara itu akan dipanggil bagi melengkapkan proses siasatan selain memastikan penyiasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional.

Iklan

Abd Halim berkata, kertas siasatan dibuka susulan aduan diterima pada 26 Ogos lepas berhubung kegagalan syarikat pembekal yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membekalkan baja kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya, setakat ini 13 saksi telah dirakam percakapan terdiri daripada seorang Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai MADA dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah syarikat yang dilantik KPKM sepatutnya membekalkan sebanyak 616,015 beg baja bagi Musim 1 2026, namun setakat September hanya 333,655 beg dibekalkan menyebabkan kekurangan 282,360 beg.

Abd Halim berkata, memandangkan kes itu masih di peringkat awal dan siasatan sedang dijalankan, SPRM belum membuat sebarang unjuran berhubung pihak lain yang mungkin dipanggil untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan kini menjurus di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan tuntutan palsu termasuk meneliti urusan pembekalan baja berkenaan.

Beliau berkata, SPRM akan menjalankan analisis kewangan terhadap akaun syarikat terbabit dan merakam percakapan pegawai serta penerima baja di 23 PPK terlibat, selain meneliti aspek tatakelola bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang menjadi punca kelewatan pembekalan tersebut.

Sementara itu, Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan kerjasama bagi melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen untuk urusan pertukaran hak milik kenderaan.

"Kerjasama dan perkongsian maklumat risikan dan operasi sebegini antara faktor kejayaan sesebuah operasi dan harus dicontohi setiap agensi,” katanya.

Semalam, 11 individu termasuk enam penjawat awam dan lima ejen direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan (THM) melibatkan 16 nombor pendaftaran kepada JPJ.

Siasatan awal mendapati kegiatan itu disyaki berlaku sekitar 2025, dengan ejen terbabit disyaki berpakat dengan penjawat awam untuk mengemukakan dokumen palsu bagi membolehkan pertukaran hak milik dibuat secara tidak sah.- Bernama