Keluarga Dr Ainul minta hentikan laporan daripada sumber tidak sah

Iklan
Dr Ainul (belakang, tengah) sebelum tragedi yang meragut nyawanya dan empat lain di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.

SHAH ALAM - Wakil keluarga terdekat kepada Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 32, meminta semua pihak untuk menghentikan serta-merta sebarang liputan, wawancara atau penyiaran maklumat daripada sumber yang tidak sah atau individu yang tidak mempunyai mandat rasmi keluarga.

Wakil keluarga, Dr Khairilmizal Samsudin berkata, tiada sebarang kenyataan terperinci yang pernah dikeluarkan oleh mana-mana waris sah mengenai masa ketibaan jenazah, urusan mandi jenazah, proses imbasan mahupun prosedur forensik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ahli keluarga sentiasa berada di lokasi dan menghormati prosedur operasi standard (SOP) serta bidang kuasa pihak berkuasa dan hospital.

"Pihak keluarga dengan tegas memohon kerjasama pihak media untuk menurunkan atau memadam sebarang laporan, video, mahupun artikel terdahulu yang bersumberkan individu tidak bertanggungjawab berkenaan.

Iklan

"Hanya merujuk terus kepada waris terdekat yang sah sekiranya memerlukan sebarang pengesahan, bagi memastikan ketepatan berita serta memelihara privasi dan kehormatan jenazah serta keluarga," katanya pada Khamis.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Iklan

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. 

Mengulas lanjut, Khairilmizal berkata, individu yang ditemu bual berkenaan didakwa mengeluarkan pelbagai maklumat yang tidak tepat, mengelirukan dan tidak sahih.

Jelasnya, keadaan itu secara langsung memberi tekanan mental dan emosi kepada keluarga yang masih dalam suasana berduka serta menguruskan proses rasmi di Miri.

"Seperti yang telah dimaklumkan secara sah oleh bapa arwah, urusan pengebumian hanya akan dimuktamadkan dan dijalankan di Kelantan sebaik sahaja seluruh prosedur rasmi selesai

"Kami sekeluarga menzahirkan rasa amat kesal dan kecewa terhadap tindakan segelintir pengamal media yang memaparkan temu bual serta memberi ruang kepada individu yang tidak bertanggungjawab mengaku sebagai keluarga terdekat Allahyarhamah demi meraih perhatian," ujarnya.