PASIR MAS - Seorang pemandu lori dibayar RM200 untuk membawa 10 tan beras dipercayai diseludup dari Thailand sebelum ditahan pasukan Task Force Komander, Briged Tenggara ketika dalam perjalanan ke Sungai Buloh, Selangor pada Khamis.
Pemeriksaan terhadap lori jenis Isuzu berkenaan menemukan 200 guni beras seberat 50 kilogram setiap satu.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lori terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika pasukan menjalankan rondaan dan pemantauan kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, kenderaan tersebut dikesan bergerak dari arah Pohon Tanjung menghala ke Kampung Repek sebelum ditahan di tepi Jalan Kampung Banggol Kuin di sini.
"Pemandu berusia 37 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan berkenaan
"Hasil siasatan awal mendapati dia hanya diarahkan mengambil lori berkenaan di lokasi yang ditetapkan dan mendakwa menerima bayaran RM200," katanya kepada pemberita.
Ahmad Radzi berkata, kes berkenaan dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara (KPB) Kelantan untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.