IPOH - DAP Perak menegaskan situasi yang dilalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung proses pengampunan pada 2018 adalah berbeza dengan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kes Anwar sejak 1998 bukan sekadar perbicaraan di mahkamah, sebaliknya turut melibatkan campur tangan politik yang menurutnya mengganggu dan menafikan hak Anwar di mahkamah.
Menurutnya, Anwar juga pernah dipenjarakan sebanyak dua kali selain dipukul dan ditahan tanpa bicara sebelum itu.
"Situasi ini berbeza dengan Najib. Beliau tidak melalui pengalaman pahit seperti Anwar dan perbicaraan Najib berjalan dengan baik manakala pensabitan beliau telah disahkan mahkamah di peringkat rayuan.
"Najib juga telah diberi peluang memohon pengampunan dan mahkamah kemudiannya menangani isu yang berbangkit daripada pengampunan itu. Kes ini sudah sepatutnya tamat dan berakhir," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang antara lain mempersoalkan dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak konsisten dalam soal pengampunan Najib dengan mengaitkannya dengan pengampunan yang diberikan kepada Anwar pada 2018.
Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Anwar walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?
Sebelum ini, PH menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.
PH berkata, pendirian itu selari dengan prinsip reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, UMNO sepatutnya memahami hak dan kedudukan Najib kerana parti itu pernah berhadapan kes membabitkan pemimpin kanannya sebelum ini.
"Contohnya pada 1977 melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris dan pada 1983 melibatkan bekas Menteri Kabinet, Datuk Mokhtar Hashim.
"Prinsip sama rata (equality) adalah tunjang dalam Perlembagaan kita. Tidak ada sebab mengapa Najib perlu diberikan layanan istimewa, lebih daripada Anwar, Harun Idris atau Mokhtar Hashim," katanya.
Abdul Aziz berkata, proses pengampunan merupakan hak yang boleh dipohon seseorang banduan selepas semua proses undang-undang termasuk semakan kehakiman atau rayuan selesai.
Menurutnya, kuasa pengampunan pula merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan sebagai raja berperlembagaan, baginda perlu mengikuti prosedur undang-undang seperti diperincikan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"PH komited dalam menjunjung kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan tidak timbul bahawa PH hendak mempertikai peranan serta kuasa baginda," katanya.
Beliau turut menegaskan proses pengampunan adalah sebahagian daripada mekanisme perlembagaan bagi memastikan keadilan sekiranya terdapat kelemahan atau kecacatan dalam sesuatu pensabitan oleh mahkamah.