Rekod pentadbiran Pas perlu dinilai sebelum diberi kepercayaan - Dr Xavier

Iklan
Xavier Jayakumar

SHAH ALAM - Rekod pentadbiran, pendirian politik dan dasar Pas perlu dinilai secara menyeluruh oleh rakyat negara ini sebelum memberikan kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui kerajaan Persekutuan.

Persoalan itu dibangkitkan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar yang kembali ke pangkuan parti berkenaan pada Ogos lalu mendakwa Muktamar Pas baru-baru ini membawa retorik kesediaaan parti berkenaan mahu mentadbir Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau turut mendakwa, ia tidak mencerminkan kesediaan parti itu untuk mentadbir sebuah negara demokrasi yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, sebaliknya lebih menjurus kepada usaha mendapatkan kuasa di peringkat Persekutuan.

"Rangka kerja itu meninggalkan sedikit ruang untuk idea bahawa orang bukan Melayu adalah rakan kongsi dalam pembinaan negara dan bukannya satu kawasan pilihan raya yang perlu diuruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini pada Muktamar Pas Ke-72, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meletakkan ‘Memimpin Agenda Penyatuan Ummah’ sebagai teras utama daripada tujuh Agenda Bertindak Menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Abdul Hadi menjelaskan bahawa konsep tersebut tidak seharusnya ditafsirkan secara sempit, sama ada sebagai strategi sementara bagi menghadapi pilihan raya atau sekadar formula pembahagian kerusi.

Iklan

Sebaliknya, beliau menegaskan kewajipan parti untuk mengambil pendekatan politik yang berhikmah bagi menyatupadukan masyarakat Melayu-Islam serta masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem.

Menurut Dr Xavier, kemampuan Pas untuk mentadbir di peringkat persekutuan terus dipersoalkan apabila Kelantan yang ditadbir parti itu selama 35 tahun masih menduduki tempat tercorot dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2024 negara.

"Kelantan telah ditadbir secara berterusan oleh Pas sejak 1990 dan berada di tempat terakhir pada indeks pembangunan nasional walaupun terdapat kesinambungan tersebut dan sumber semula jadi negeri.

"Terengganu dan Kedah yang kedua-duanya kini diterajui Pas melalui Perikatan Nasional (PN) juga berada dalam kategori ‘tinggi’ dan bukannya ‘sangat tinggi’, jauh di belakang Pulau Pinang, Selangor, dan Sarawak yang masing-masing ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," ujar beliau.

Beliau turut meminta rakyat supaya menilai sesebuah parti berdasarkan data, rekod pentadbiran dan dasar yang jelas, bukan semata-mata berdasarkan slogan politik.

“Bolehkah rakyat Malaysia percayakan Pas? Berdasarkan bukti yang ada hari ini, jawapannya belum, dan bukan tanpa jaminan sebenar.

"Angka Indeks Pembangunan Manusia, pertikaian Perkara 4(4) dan kanun syariah Kelantan yang diundangkan semula dengan jelas membuktikannya sendiri," katanya.

Xavier meminta Pas menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka akan mengekalkan asas keamanan, toleransi agama dan keterbukaan ekonomi negara.

Dr Xavier mengakui langkah Pas menaik taraf sayap Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) kepada status parti penuh dengan memberi ahli bersekutu hak mengundi dalam sayap itu sebagai isyarat positif, namun kesannya masih terhad.

"Tetapi kepimpinan tertinggi parti kekal terhad secara perlembagaan kepada orang Islam dan kedudukan teras mengenai ekonomi, pendidikan serta agama masih ditetapkan oleh Dewan Ulamak Pas (kepimpinan ulama), bukan konsensus nasional yang lebih luas," katanya.