Alliance Islamic Bank sasar tambahan zakat RM3.45 juta menjelang 2027

Iklan
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli (lima,kiri) bersama pengurusan kanan Alliance Islamic dan LZS pada Program AZAM.

ALLIANCE Islamic Bank (AIS) menyasarkan tambahan sejumlah RM3.45 juta dana zakat untuk disalurkan kepada Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) menjelang Mac 2027 bagi memperluaskan pembiayaan kepada kira-kira 690 usahawan asnaf.

Setakat ini, AIS telah menyalurkan RM975,000 dalam dana zakat wakalah ke program AZAM sejak diperkenalkan pada 2023.

Iklan
Iklan

Dengan sasaran sumbangan dana zakat sebanyak RM3.45 juta, jumlah keseluruhan dana bagi AZAM dijangka akan meningkat kepada RM4.425 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, AZAM telah menunjukkan zakat produktif boleh menghasilkan perubahan yang nyata dan boleh diukur.

Iklan

Menurutnya, setakat ini, 25 penerima AZAM telah berjaya keluar daripada status asnaf fakir miskin.

"Pencapaian ini memberi keyakinan bahawa pendekatan ini boleh diperluaskan kepada lebih ramai usahawan asnaf.

Iklan

“Pada masa yang sama, pembayar zakat mahu mengetahui bagaimana sumbangan mereka diuruskan dan hasil yang dicapai. Melalui AZAM, mereka dapat melihat hasil tersebut melalui laporan impak yang telus. Kami berharap lebih ramai individu dan syarikat akan bersama kami memperluaskan manfaat ini kepada lebih ramai usahawan asnaf,” katanya dalam kenyataan.

AZAM merupakan program pembiayaan mikro berasaskan zakat yang menyediakan pembiayaan perniagaan tanpa caj keuntungan kepada usahawan asnaf, disertai latihan dan bimbingan bagi membantu mereka membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri.

Dana yang dibayar balik oleh peserta akan disalurkan semula kepada usahawan asnaf yang lain, membolehkan dana zakat dimanfaatkan secara berterusan.

Hasil kajian Social Return on Investment (SROI) yang disahkan oleh Social Value Malaysia menunjukkan program AZAM berjaya memberi impak sosial yang signifikan dan boleh diukur kepada penerimanya.

Kajian tersebut mendapati 55 peratus peserta melaporkan perniagaan mereka kini lebih stabil, manakala empat daripada 10 peserta mencapai tahap kestabilan kewangan yang lebih baik termasuk berupaya mengurus keperluan harian, melangsaikan hutang serta meningkatkan simpanan.

Selain itu, 71 peratus peserta menyatakan keyakinan diri mereka meningkat, diikuti 35 peratus yang melihat anak-anak mula menunjukkan minat meneruskan perniagaan keluarga, sementara 24 peratus lagi melaporkan hubungan kekeluargaan menjadi lebih harmoni hasil pengurangan tekanan kewangan.

Kajian sama turut merekodkan setiap RM1 yang disalurkan kepada AZAM menghasilkan pulangan nilai sosial sebanyak RM6.10, sekali gus membuktikan keberkesanan program tersebut dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial golongan asnaf.

Susulan pencapaian tersebut, AIS mengalu-alukan lebih ramai muzakki di Selangor menyalurkan zakat wakalah melalui AZAM bagi memperluaskan peluang pembiayaan, latihan dan bimbingan kepada usahawan asnaf untuk membina serta mengembangkan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Haji Mohd Khaidzir Shahari berkata, kerjasama strategik dengan Alliance Islamic Bank dan Amanah Ikhtiar Malaysia melalui inisiatif zakat wakalah memperkukuh ekosistem zakat dengan menghubungkan kutipan kepada agihan yang memberi impak nyata, khususnya dalam memperkasa usahawan asnaf.

"Asnaf yang dikenal pasti mempunyai bakat dalam perniagaan diberikan bantuan modal pusingan untuk merealisasikan impian mereka dan menjalankan pelan pembangunan perniagaan.

"Bagi Zakat Selangor, konsep ini bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi membina keupayaan asnaf untuk lebih berdikari, berupaya untuk ada 'purchasing power' dan meningkatkan daya tahan serta masa depan asnaf yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Noor Aeiza Hassan berkata, pihaknya percaya zakat mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan.

"Apabila disokong dengan pembiayaan, latihan dan bimbingan yang bersesuaian, bantuan yang disalurkan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan modal, malah membantu usahawan asnaf membina sumber pendapatan yang lebih kukuh dan mampan," katanya.