Empat gunung berapi Indonesia rekod 13 letusan, aktiviti berterusan

Iklan
Empat gunung berapi di Indonesia, termasuk Gunung Anak Krakatau, merekodkan sekurang-kurangnya 13 letusan pada Khamis. Gambar fail

JAKARTA - Empat gunung berapi di Indonesia, termasuk Gunung Anak Krakatau, merekodkan sekurang-kurangnya 13 letusan pada Khamis ketika aktiviti gunung berapi berterusan di seluruh kepulauan itu, dengan abu dari sebuah gunung berapi menyebabkan sebuah lapangan terbang di Nusa Tenggara Timur kekal ditutup.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan setakat tengah hari, enam letusan direkodkan di Gunung Ibu di Maluku Utara, empat di Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur, dua di Gunung Semeru di Jawa Timur dan satu di Anak Krakatau, yang meletus pada jam 9.10 pagi Waktu Indonesia Barat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kolum letusan Anak Krakatau tidak dapat diperhatikan.

Pemantauan awal antara tengah malam hingga 6 pagi menunjukkan gunung berapi itu diliputi kabus, dengan tiga gempa bumi hibrid atau berbilang fasa serta gegaran berterusan direkodkan sepanjang tempoh itu.

Iklan

Gunung berapi itu kekal pada Tahap III atau siaga, tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia.

Dalam perkembangan berasingan, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menerusi kemas kini di Instagram memaklumkan abu gunung berapi dari Anak Krakatau dan Ili Lewotolok tidak lagi dikesan.

Iklan

Abu dari Gunung Ibu dikesan pada ketinggian sehingga 2,134 meter, manakala Gunung Semeru tidak dapat diperhatikan kerana litupan awan.

Aktiviti gunung berapi terbaharu itu berlaku selepas abu gunung berapi dari Anak Krakatau memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan tujuh lapangan terbang lain ditutup sementara awal minggu ini.

Sementara itu, AirNav Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan Lapangan Terbang Wunopito di Lewoleba, Nusa Tenggara Timur kekal ditutup akibat abu gunung berapi dari Ili Lewotolok, dengan penutupan dilanjutkan sehingga kira-kira 7 pagi waktu tempatan pada Jumaat. - Bernama