KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) didesak menjawab persoalan berhubung pemindahan tiga gajah Asia Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Desakan itu dikemukakan Dr SR Raws bersama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), diketuai Profesor Dr Santharasegaran Subramaniam dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu (NGI) menerusi memorandum tuntutan yang dikemukakan kepada pihak berkaitan.
Gabungan berkenaan turut mendesak supaya pengaturan sedia ada dibatalkan dan ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang ke Malaysia sekiranya kepulangan itu boleh dilaksanakan dengan selamat serta demi kepentingan kebajikan haiwan berkenaan.
Mereka turut meminta Perhilitan menerima secara terbuka penilaian bebas dan profesional daripada pakar gajah dunia, Dr William Keith Lindsay yang menurut Dr SR Raws telah menghasilkan tiga laporan berkaitan isu DAK.
"Sebarang keputusan yang menyentuh kehidupan dan kebajikan gajah berkenaan sewajarnya dibuat berasaskan sains, kepakaran serta prinsip kebajikan haiwan dengan kepentingan DAK menjadi keutamaan," kata mereka.
Selain itu, gabungan berkenaan meminta penjelasan mengenai dakwaan ketirisan dana atau salah guna kuasa yang sedang disiasat pihak berkuasa, termasuk pendirian dan tindakan dalaman Perhilitan bagi memastikan pengurusan hidupan liar negara kekal berintegriti.
Dalam memorandum itu, mereka turut mempersoalkan terma utama berkaitan DAK, termasuk perkara yang dipersetujui ketika ketiga-tiga gajah berkenaan dihantar ke Jepun, tanggungjawab setiap pihak serta syarat penjagaan, kebajikan dan masa depan haiwan berkenaan.
"Kami juga meminta Perhilitan menjelaskan status asal pemilikan DAK sebagai aset, pihak yang bertanggungjawab terhadap mereka serta pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai masa depan ketiga-tiga gajah tersebut," kata mereka.
Pada masa sama, isu kecederaan fizikal Kelat turut dibangkitkan, termasuk persoalan mengenai pemotongan dan kerosakan gadingnya sebaik tiba di Jepun serta tahap keupayaan pengurusan Zoo Tennoji dalam mengendalikan gajah tropika.
Gabungan itu turut mempersoalkan keputusan menempatkan gajah yang sebahagiannya diselamatkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, di zoo bandar luar negara yang beriklim sederhana berbanding habitat perlindungan domestik.
"Kami mahu Perhilitan menjelaskan objektif, kaedah, pemantauan dan hasil program konservasi yang melibatkan DAK bagi memastikan istilah konservasi bukan sekadar digunakan tanpa matlamat serta ukuran kejayaan yang jelas," tegas mereka.
Sementara itu, aktivis haiwan dan alam sekitar, Noraini Abd Khalil Saferi berkata, khazanah alam negara tidak seharusnya dijadikan komoditi pameran atau alat diplomatik komersial sehingga mengabaikan kebajikan asas haiwan.
“Mengurung haiwan tropika di negara empat musim bukan satu bentuk konservasi, itu adalah satu kemunduran,” katanya.
Dr SR Raws pula menegaskan tuntutan tersebut berteraskan tiga perkara utama iaitu jawapan, ketelusan dan tanggungjawab dengan kebajikan Dara, Amoi dan Kelat sebagai keutamaan.
Menurutnya, sekiranya terdapat jalan yang selamat untuk membawa pulang DAK ke Malaysia dan kepulangan itu demi kebajikan mereka, perancangan berhubung perkara tersebut perlu dimulakan serta dibentangkan secara jelas.
Antara perkara yang turut dituntut ialah pelan kecemasan atau exit clause dalam kontrak bertulis bagi membolehkan DAK dibawa pulang sekiranya pemindahan berkenaan dinilai sebagai gagal memenuhi pertimbangan etika dan kebajikan haiwan.
Pelan itu, menurut gabungan berkenaan, perlu merangkumi persediaan diperlukan, lokasi penempatan, proses pemindahan serta garis masa yang realistik.
Sekiranya dibawa pulang, mereka mencadangkan DAK ditempatkan di habitat separa liar domestik seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, yang dianggap lebih sesuai dengan ekosistem asal mereka.
PERKAM memberi amaran akan terus menggerakkan sokongan rakyat sekiranya Perhilitan dan kementerian berkaitan gagal memberikan jawapan konkrit serta pelan tindakan bagi membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut dalam tempoh terdekat.