KUALA LUMPUR - UMNO sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti kukuh untuk pendakwaan susulan dakwaan seorang lagi pemimpin kanan UMNO bakal dipanggil agensi itu minggu depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bagaimanapun belum menerima maklumat rasmi mengenai perkara berkenaan.
“Saya tidak dapat maklumat rasmi lagi mengenai perkara itu. Tapi pendirian kami ialah bahawa jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan.
"Tapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, ia dimulakan dengan siasatan dan siasatan itu tidaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata sedemikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang lagi pemimpin kanan UMNO difahamkan bakal dipanggil SPRM minggu depan bagi membantu siasatan berkaitan isu Lembaga Tabung Haji (TH).
Pemimpin berkenaan yang dikatakan memegang jawatan kanan dalam UMNO dilaporkan diberikan masa untuk menghadiri PAU sebelum dipanggil oleh SPRM.