SEREMBAN – Padah menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp, seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Suhaimi Yusof, 50 selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut lima pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara tidak wajar dengan menghantar tiga keping gambar dan dua rakaman video lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya.
Kesemua perbuatan itu dilakukan pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, Seremban.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bavah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Mulimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 233(3) boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pengadu telah menerima beberapa gambar dan video yang lucah sifatnya daripada tertuduh yang merupakan bekas suami kepada isteri pengadu.
Pengadu berasa amat terkilan dan terganggu apabila menerima serta melihat kandungan tersebut yang memaparkan isterinya lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan dan memaklumkan dia reda sekiranya dihukum penjara.
Dia memberitahu, kini bekerja sebagai pemandu lori serta mempunyai empat anak yang mana tiga daripadanya masih bersekolah, namun dijaga oleh bekas isteri.
Katanya, dia bertindak sedemikian kerana berang ditipu.
Shahrul Rizal sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan tertuduh supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Beliau kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 dan penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin.