KUALA LUMPUR - Wanita UMNO mahu parti itu membina semula kepercayaan rakyat sebagai asas untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa perpaduan, kerja keras dan keyakinan terhadap perjuangan mampu menghasilkan kejayaan.
Menurut beliau, UMNO kini berdepan cabaran lebih besar untuk memenangi sesuatu yang lebih sukar daripada sekadar Gelombang Biru.
"Sekarang kita mesti menenangi sesuatu yang jauh lebih sukar, bukan hanya gelombang biru. Kita harus memenangi kepercayaan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Noraini berkata, Wanita UMNO tidak mahu parti itu menang hanya kerana rakyat marah kepada pihak lain atau disebabkan kesilapan dilakukan lawan.
Sebaliknya, katanya, kemenangan perlu dicapai kerana rakyat kembali yakin bahawa UMNO mampu memahami keresahan mereka, membela kepentingan serta menawarkan jawapan untuk masa depan.
"Kita tidak boleh berkata kepada rakyat, percayalah kepada kita hanya kerana kita pernah berjasa.
"Jasa semalam memberikan kita sejarah. Kerja hari ini memberikan kita kepercayaan," katanya lagi.
Noraini turut menegaskan Gelombang Kepercayaan bukan sekadar kempen untuk meminta rakyat mempercayai UMNO, sebaliknya gerakan untuk memberikan mereka sebab untuk kembali yakin kepada parti itu.
Tambah beliau, sayap parti itu mempunyai kelebihan menerusi jaringan hubungan secara langsung dengan masyarakat yang tidak boleh dibina hanya melalui algoritma media sosial.
"Kita mengenali keluarga. Kita mendengar keresahan mereka. Kita tahu apabila kos hidup mula menghimpit. Kita tahu apabila anak muda mula kehilangan harapan.
"Sebelum sesuatu masalah menjadi angka dalam laporan, Wanita sudah mendengarnya di pasar, di surau dan di rumah rakyat dan inilah kekuatan kita.
"Hubungan yang dibina bukan untuk sehari. Kepercayaan yang dijaga bukan hanya ketika pilihan raya," ujarnya.