Pengerusi PKR Perak dipilih Ahli Dewan Negara

Iklan
Mohamad Hairul Amir dipilih sebagai Ahli Dewan Negara sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

IPOH – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri dipilih sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Perak selepas dipilih majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Pemilihan beliau diputuskan menerusi undian selepas blok pembangkang turut mengemukakan calon mereka iaitu Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Zulkifli Muhamad Zakaria.

Iklan
Iklan

Terdahulu Pemilihan Ahli Dewan Negara itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Nama Mohamad Hairul Amir, 38, dicadangkan Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja) yang kemudian disokong Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang).

Iklan

Manakala Muhammad Zulkifli, 57, dicadang Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) dan disokong Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik).

Pemilihan Mohamad Hairul Amir diumum Speaker DUN, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas mendapat 33 undi mengatasi Muhammad Zulkifli yang memperoleh 26 undi.

Iklan

Mohamad Hairul Amir dipilih bagi menggantikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang telah tamat tempoh penggal pada 24 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria dalam sidang media selepas keputusan pemilihan itu memaklumkan pihaknya menerima dan menghormati keputusan pengundian berkenaan.

Katanya, keputusan pengundian tersebut tidak seharusnya menjejaskan hubungan serta usaha ke arah penyatuan ummah, khususnya antara Pas dan UMNO.

"Pendirian ini bukan semata-mata berkaitan soal pelantikan seorang Senator, tetapi mencerminkan keutuhan dan kesatuan pendirian politik Blok Pembangkang dalam sesuatu perkara yang telah diputuskan secara bersama.

"Pada masa yang sama, kami menegaskan bahawa pintu penyatuan ummah tidak pernah tertutup. Usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti Melayu dan Islam, khususnya Pas dan UMNO, perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan masa depan negara," katanya.