MMA gesa standard helikopter 'doktor udara' setaraf pesawat menteri

Iklan
Dr Thirunavukarasu

IPOH - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memastikan helikopter yang digunakan dalam Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) memenuhi standard keselamatan setanding pesawat yang dinaiki pemimpin negara.

Presidennya, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, aspek keselamatan petugas kesihatan tidak boleh dikompromi, khususnya ketika melaksanakan misi kritikal melibatkan kawasan pedalaman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun perkhidmatan kecemasan FDS perlu diteruskan kerana kepentingannya kepada masyarakat, kerajaan bertanggungjawab menjamin kualiti dan tahap keselamatan aset pengangkutan yang digunakan.

"Jika menteri boleh menggunakan pesawat dengan standard tinggi, mengapa petugas kesihatan tidak diberikan tahap keselamatan yang sama?

Iklan

"Jangan wujudkan persepsi seolah-olah keselamatan mereka diketepikan ketika mereka bertugas menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Konvensyen MMA Kebangsaan dan Kongres Saintifik 2026 di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengerusi MMA Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Konvensyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2026, Dr Monesh Pillai.

Terdahulu, media melaporkan semua lima mangsa nahas helikopter FDS yang terhempas di Long Lellang, Miri Sarawak disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Mengulas lanjut, Dr Thirunavukarasu menegaskan tragedi membabitkan perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya dilupakan selepas tempoh tertentu tanpa tindakan penambahbaikan menyeluruh.

Katanya, MMA mahu satu audit keselamatan dilaksanakan terhadap semua bentuk pengangkutan kesihatan termasuk udara, darat dan laut.

"Ini termasuk ambulans dan bot yang digunakan di kawasan pedalaman. Keselamatan mesti menjadi keutamaan dalam semua perkhidmatan ini," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik sistem sedia ada.

"MMA tidak mahu isu ini berlalu begitu sahaja. Perlu ada akauntabiliti dan penjelasan jelas mengenai apa yang berlaku," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, langkah-langkah penambahbaikan termasuk perlindungan insurans, latihan keselamatan serta hak petugas untuk menyuarakan kebimbangan perlu diperkukuh bagi memastikan keyakinan mereka terhadap sistem terus terpelihara.

"Lima nyawa yang terkorban perlu menjadi titik perubahan kepada sistem sedia ada, bukan sekadar tragedi yang dilupakan," katanya.