KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu laporan rasmi berhubung keputusan padanan asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sudah mengetahui mengenai perkembangan berkaitan pengambilan sampel DNA keluarga mangsa, namun setakat ini belum menerima pengesahan keputusan padanan secara rasmi.
“Kita sudah mendengar (perkembangan ini), tetapi kita belum mendapat sesuatu (maklumat) yang sifatnya rasmi.
“Apabila kita mendapat pengesahan secara rasmi (berhubung perkara ini), Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab pastinya akan membuat penerangan (memberi kenyataan),” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan proses padanan DNA mangsa susulan pengambilan sampel DNA daripada ahli keluarga bagi tujuan pengecaman rasmi.
Pada Rabu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilapor mengesahkan identiti kesemua lima mangsa dikenal pasti menerusi barangan peribadi pada jasad mangsa, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk di dalam helikopter.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM
Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak
Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia - Keluarga
Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia
Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa
'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Nahas helikopter: 'Dr Ainul mahu sambung belajar jadi doktor pakar' - Bapa kongsi perbualan terakhir
Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu
Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung dan tidak sempurna, manakala sampel DNA ahli keluarga diambil bagi proses pengecaman rasmi di Hospital Miri.
Kesemua mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Helikopter jenis BO-105 yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu terhempas berhampiran STOLport Long Lellang pada petang Selasa ketika melaksanakan penerbangan FDS.
Sementara itu, Mahathar meminta semua pihak menunggu pengumuman lanjut daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada Rabu telah menjelaskan tatacara serta proses seterusnya.
“Dalam kenyataan tersebut jelas memaklumkan tatacara dan proses-proses seterusnya. Saya harap kita menunggu pengumuman lanjut daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak berkaitan perkara ini,” ujarnya.