Usahawan lokal bawa legasi Malaysia ke era digital

Iklan

Bagi sesetengah usahawan, perniagaan bukan sekadar sumber pendapatan, sebaliknya sebuah legasi yang membawa bersama cerita keluarga, nilai, pengalaman dan identiti yang dibina selama bertahun-tahun.

Namun, mewarisi sesuatu yang sudah kukuh tidak bermakna mereka perlu kekal dengan cara lama.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, perubahan zaman mendorong usahawan tempatan untuk mencari pendekatan baharu bagi memastikan produk dan perkhidmatan mereka terus relevan, tanpa mengorbankan nilai yang menjadi akar kepada perniagaan.

Daripada resipi keluarga yang diwarisi lebih tiga dekad, produk makanan tradisional yang diberi nafas baharu, hinggalah pakaian tradisional yang disesuaikan dengan cita rasa generasi masa kini, para usahawan dalam kempen Juara Lokal Shopee ini berkongsi satu persamaan. – warisan tidak semestinya kekal di masa lalu.

Iklan

Dengan sokongan teknologi dan ekonomi digital, warisan tempatan kini mempunyai ruang lebih luas untuk dikenali, diterokai dan dinikmati pelanggan di seluruh negara, malah berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

Membawa legasi keluarga ke fasa seterusnya

Iklan

Bagi Pengurus Bersama, Frisha Classic Desserts and Bakery , Frisha Fazara Ishak, perjalanan perniagaan yang bermula pada 1990 bukan sekadar sejarah syarikat, tetapi legasi keluarga yang kini dipikul oleh generasi seterusnya.

Diasaskan oleh ibu dan bapanya secara kecil-kecilan sebagai perniagaan bakeri, Frisha Classic pada awalnya bermula dari dapur rumah dengan menerima tempahan daripada pelanggan di sekeliling.

Dari situ, perniagaan berkembang hasil resipi keluarga, kualiti produk serta kepercayaan pelanggan yang dibina dari tahun ke tahun.

Lebih tiga dekad kemudian, banyak resipi dan cara penyediaan yang digunakan masih berasaskan pengalaman serta resipi yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Nilai paling penting ialah memastikan rasa dan kualiti sentiasa terjaga, selain menghargai pelanggan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perniagaan ini.

“Kini, tanggungjawab membawa legasi ibu bapa ke fasa seterusnya bukan sekadar untuk meneruskan perniagaan keluarga, tetapi memastikan warisan tersebut terus relevan dan mampu berkembang mengikut perubahan zaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Cabaran terbesar adalah memastikan perniagaan yang sudah mempunyai sejarah lebih 30 tahun tidak ketinggalan dalam dunia yang berubah pantas.

Perubahan tingkah laku pelanggan, persaingan yang semakin tinggi dan peralihan daripada pembelian fizikal kepada pembelian dalam talian membuatkan Frisha Classic sedar bahawa cara lama sahaja tidak lagi mencukupi.

Justeru, pembaharuan dilakukan secara berperingkat tanpa mengetepikan produk tradisional dan signature yang menjadi identiti mereka.

Pembungkusan diperkemaskan, produk disesuaikan supaya lebih sesuai untuk penghantaran, selain meneroka kategori baharu seperti makanan sedia dimakan di bawah Frisha Foods.

Bagi Frisha, inovasi bukan bermaksud meninggalkan perkara lama, tetapi mengetahui perkara yang perlu dikekalkan dan perkara yang perlu diubah.

Langkah ke dunia digital melalui Shopee pula menjadi antara titik perubahan penting dalam perjalanan tersebut.

Frisha Classic mula memasuki Shopee pada Ogos 2025 menerusi program Bintang Agromarketing Masterclass anjuran FAMA dan Shopee Malaysia.

Sebelum itu, capaian pelanggan banyak bergantung kepada pelanggan sedia ada, promosi dari mulut ke mulut dan jualan secara terus.

Namun, menerusi Shopee, produk Frisha Classic dapat ditemui pelanggan yang mungkin tidak pernah mengenali jenama berkenaan sebelum ini.

“Daripada hanya lapan SKU pada peringkat awal, jualan berkembang daripada sekitar RM200 pada bulan pertama kepada kira-kira RM9,000 pada bulan keempat.

“Lebih daripada angka jualan, platform itu turut menjadi ruang untuk mempelajari tingkah laku pelanggan, memahami permintaan pasaran, menguji produk dan memperbaiki kaedah pemasaran digital,” katanya.

Pengalaman tersebut membuka perspektif bahawa digitalisasi bukan hanya untuk syarikat besar kerana perniagaan kecil dan perniagaan keluarga juga mampu menggunakan teknologi untuk meluaskan pasaran serta membawa produk tempatan kepada lebih ramai pelanggan.

Warisan bukan sekadar resipi lama

Sementara itu, GT Food Asia Sdn Bhd, syarikat di sebalik jenama makanan ringan popular Minnifood, membina reputasinya hasil pengalaman bertahun-tahun dalam industri rempah ratus dan makanan.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2015 itu membawa bersama pengalaman yang dibina sebelum penubuhannya, dengan pemahaman bahawa dalam industri makanan, kejayaan bukan sekadar bergantung kepada jualan produk, tetapi turut dibina melalui rasa, kualiti dan konsistensi.

Pengarah GT FOOD ASIA Sdn Bhd, Calvin Koh Teik Min, pada 2013, peluang untuk mempelbagaikan perniagaan ke kategori makanan ringan mula dilihat menerusi Kacang Macha.

Kepakaran dalam rempah-ratus kemudiannya digunakan untuk memberikan identiti tersendiri kepada makanan ringan tradisional, khususnya muruku.

“Nilai seperti integriti kualiti, kesucian Halal dan rasa autentik menjadi pegangan, manakala pengalaman menjaga piawaian pembuatan termasuk GMP, HACCP dan ISO 22000 menjadi asas kepada kepercayaan pelanggan,” katanya.

Namun, bagi mereka, warisan bukan sekadar resipi lama, sebaliknya turut membawa ikatan kekeluargaan dan identiti budaya yang perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat.

Pada masa sama, warisan juga tidak bermaksud melakukan perkara sama berulang kali.

“Sebab itu, kecintaan terhadap cita rasa tempatan diteruskan bersama keberanian mencipta sesuatu yang lebih moden, termasuk MINNI, kudapan panggang berasaskan kacang dal,” katanya.

Nama MINNI sendiri mempunyai kisah kekeluargaan kerana diilhamkan daripada nama akhiran kedua-dua pengasas.

Perubahan selera, gaya hidup dan cara pengguna membuat keputusan pembelian kemudian mendorong GT FOOD ASIA untuk keluar daripada zon selesa.

Jika sebelum ini produk makanan banyak bergantung kepada kedai fizikal dan rak pasar raya, pengguna hari ini mahu mengenali kandungan, cerita, nilai dan pengalaman yang ditawarkan sesuatu jenama sebelum membuat pembelian.

“Cabaran terbesar, kata mereka, bukan untuk berubah, tetapi berubah tanpa melupakan identiti,” katanya.

Dalam perjalanan digital itu, Shopee menjadi batu loncatan yang membantu merobohkan batas geografi.

Jika sebelum ini produk tempatan lebih terhad kepada pasaran fizikal tertentu, platform digital itu membolehkan produk ditemui pelanggan dari pelbagai kawasan, termasuk Sabah dan Sarawak.

Lebih luas lagi, kewujudan Shopee Platform Antarabangsa turut membuka peluang untuk membawa produk ke pasaran luar.

Pada masa sama, interaksi dan maklum balas pelanggan membantu perniagaan memahami produk yang menarik perhatian serta cara jenama tempatan boleh berkomunikasi dengan lebih berkesan.

Bagi mereka, warisan memberikan akar, inovasi memberikan sayap, manakala teknologi membuka ruang untuk terbang lebih jauh.

Dari penerbitan tradisional ke rak digital tanpa sempadan

Kisah Karangkraf Mall pula memperlihatkan bagaimana sebuah perniagaan yang dibina sejak 1978 berani melakukan transformasi tanpa meninggalkan nilai yang menjadi asasnya.

Menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf Mall, Izzat Izhar Muhamad Nasir, perjalanan bermula dari sebuah rumah kedai di SS2 dengan penerbitan buku pendidikan di bawah Karya Bestari sebelum berkembang kepada penerbitan majalah popular seperti Mingguan Wanita dan Nona.

Pada awal 1990-an, perkembangan itu diteruskan dengan pembinaan kilang percetakan sendiri.

"Apa yang kekal menjadi pegangan sepanjang perjalanan tersebut ialah niat untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Buku tidak dilihat sekadar produk fizikal, tetapi medium untuk membina nilai dalam masyarakat. Bagaimanapun, dunia penerbitan berubah dengan pantas," katanya.

Perubahan itu menuntut pendekatan baharu, termasuk bagaimana untuk bergerak daripada sekadar menjual buku kepada memberikan pengalaman pembelian yang lebih mudah kepada pelanggan.

Karangkraf Mall Sdn Bhd kemudian ditubuhkan pada 2010 sebagai pemacu transformasi digital.

Perkembangan platform digital dan sesi siaran langsung turut mengubah cara pelanggan mengenali serta memilih buku.

Menerusi sesi live, pelanggan boleh melihat buku secara langsung sambil bertanya mengenai jalan cerita, kandungan, sasaran pembaca atau mendapatkan cadangan buku mengikut minat tanpa perlu hadir ke kedai.

Media sosial, sesi live dan ulasan pembeli juga menjadi antara cara baharu pelanggan menemui serta menilai buku sebelum membuat keputusan pembelian.

"Dalam konteks ini, Shopee memberikan satu kelebihan yang sukar ditawarkan oleh kedai fizikal – ruang katalog yang lebih luas.

Jika kedai buku hanya mampu mempamerkan sekitar 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan katalog kerana kekangan ruang, platform digital membolehkan keseluruhan katalog disenaraikan," katanya.

Buku lama atau judul backlist yang mungkin tidak mendapat ruang di rak fizikal juga mempunyai peluang untuk ditemui semula.

Pada masa sama, pelanggan baharu di kawasan yang sebelum ini sukar mendapatkan produk Karangkraf kini lebih mudah mengaksesnya.

Rak fizikal mungkin mempunyai batas, tetapi dalam dunia digital, katalog boleh pergi lebih jauh.

Membawa cita rasa tempatan ke gaya hidup moden

Sementara itu, menurut Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Meet Mee, Clement Lin Kian Hui, Meet Mee pula, warisan hadir dalam bentuk cita rasa yang dekat dengan kehidupan harian rakyat Malaysia.

“Bagi kami, semangkuk mi bukan sekadar hidangan yang mengenyangkan, tetapi membawa rasa yang dekat di hati daripada pan mee kering pedas hinggalah sup panas yang mengingatkan kepada masakan di rumah,” katanya.

Daripada asas itu, Meet Mee dibangunkan dengan matlamat membawa cita rasa tempatan ke dalam gaya hidup moden tanpa menghilangkan identiti dan keasliannya.

“Tiga perkara menjadi perhatian utama - cita rasa, kemudahan dan pengalaman pengguna,” katanya.

Produk seperti Dry Chili Pan Mee, Mum’s Soup Pan Mee dan Yee Mee Soup dibangunkan berasaskan idea untuk menjadikan cita rasa yang dekat dengan masyarakat Malaysia lebih mudah dinikmati pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Bagi kami, warisan bukan semata-mata mempertahankan cara lama. Sebaliknya, ia akan terus hidup apabila mampu dibawa maju bersama generasi baharu,” katanya.

Dalam usaha memperluaskan pasaran, Shopee memainkan peranan sebagai saluran yang membolehkan produk tempatan ditemui pelanggan dari pelbagai negeri hanya menerusi telefon pintar.

Kempen platform, promosi, siaran langsung, program rakan niaga serta kemudahan pemasaran digital memberikan ruang untuk memperkenalkan Meet Mee kepada pelanggan baharu.

Pada masa sama, platform digital membolehkan mereka memahami corak pembelian, pilihan pengguna dan maklum balas pelanggan dengan lebih pantas.

“Maklumat tersebut membantu dalam membuat keputusan berkaitan penawaran produk, strategi promosi dan pendekatan pemasaran,” katanya.

Apa yang paling menarik bagi mereka tentang ekonomi digital ialah saiz sesebuah jenama tidak lagi semestinya menentukan sejauh mana ceritanya boleh pergi.

Teknologi bukan menggantikan identiti Meet Mee, sebaliknya memberikan jenama itu pentas lebih besar untuk membawa cita rasa tempatan kepada lebih ramai orang.

Menghidupkan semula pakaian tradisional dengan cara baharu

Kecintaan terhadap warisan bermula sejak zaman kanak-kanak menjadi asas kepada kewujudan dan kesinambungan RimbunKL.

Pengasas RimbunKL, Aini Qaleesha atau Suna membesar dengan pengalaman menyelongkar kotak pakaian lama ibunya setiap kali Hari Raya, yang dipenuhi baju kurung dan kebaya dari penghujung 1980-an yang diwarisi daripada neneknya.

Daripada situ, beliau gemar mencampur dan memadankan setiap helaian pakaian untuk menghasilkan gaya sendiri.

“Pengalaman tersebut menimbulkan keinginan untuk membuatkan orang lain melihat pakaian tradisional sebagai sesuatu yang menyeronokkan, lebih peribadi dan tidak semestinya terikat dengan template atau trend semasa,” katanya.

RimbunKL kemudian bermain dengan elemen batik, kebaya dan siluet tradisional, tetapi diberikan sedikit kelainan supaya lebih dekat dengan generasi sekarang.

“Warisan tidak sepatutnya kekal beku di masa lalu. Sebaliknya, ia boleh berkembang dan kekal relevan mengikut cara generasi hari ini berpakaian,” katanya.

Perubahan cara pelanggan mencari inspirasi dan membeli pakaian kemudian menuntut pendekatan baharu.

Jika dahulu pelanggan mungkin datang ke kedai kerana sudah mengetahui apa yang mahu dibeli, kini mereka boleh menemui sesuatu menerusi media sosial, melihat cara ia digayakan dan terus membuat keputusan pembelian.

RimbunKL bukan hanya menjual satu set pakaian, tetapi cuba menunjukkan bagaimana satu item boleh digayakan dalam pelbagai cara mengikut personaliti pemakainya.

Satu skirt batik, misalnya, boleh menghasilkan pelbagai kombinasi bergantung kepada gaya.

“Pakaian sahaja tidak lagi mencukupi kerana pelanggan juga mahu berasa terinspirasi, mempunyai hubungan dengan sesuatu jenama dan berasa sebahagian daripada komuniti apabila memakainya,” katanya.

Di sinilah Shopee membantu membuka akses kepada pelanggan yang mungkin tidak pernah berpeluang mengunjungi kedai fizikal RimbunKL.

Pelanggan dari negeri lain boleh mengenali dan mendapatkan produk dengan lebih mudah, manakala pilihan instant delivery membolehkan pelanggan berdekatan mendapatkan pakaian dengan lebih pantas.

Menerusi Shopee Live, RimbunKL pula boleh berinteraksi secara terus dengan pelanggan, memperlihatkan produk serta menjawab pertanyaan mengenai saiz dan gaya.

Kemudahan seperti ShopeePay dan pilihan pembayaran SPayLater turut dianggap membantu menjadikan pembelian lebih mudah diakses.

Kini, capaian RimbunKL juga melangkaui Malaysia dengan pelanggan di Singapura dan Filipina berpeluang mendapatkan produk mereka melalui Shopee, termasuk Shopee Singapore.

Bagi RimbunKL, digital bukan sekadar saluran menjual pakaian.

“Ia membuka ruang untuk membawa pakaian tradisional kepada lebih ramai orang tanpa mengira lokasi,” katanya.

Dari Sabah, membawa produk tempatan ke dunia

Perjalanan Tem Tem Sabah bermula pada 2021 ketika pandemik COVID-19, apabila pengasas Hong Xin Food Sdn Bhd, Cherry Ding Chew Li, melihat potensi tempe sebagai sumber protein berkhasiat.

Sebagai individu yang sudah mengamalkan diet berasaskan tumbuhan selama lebih 10 tahun, beliau melihat masih terdapat ruang untuk produk tempe yang lebih moden, mudah dinikmati dan sesuai dengan gaya hidup semasa.

“Daripada usaha kecil di Sabah, Tem Tem Sabah dibangunkan dengan matlamat menjadikan makanan berasaskan tumbuhan lebih mudah dinikmati tanpa mengorbankan rasa,” katanya.

Kerepek tempe yang rangup dihasilkan dengan gabungan bahan warisan tempatan seperti Beras Tadong dari Tambunan.

Pada masa sama, perniagaan itu membawa nilai inovasi, kualiti dan impak kepada komuniti.

Mereka bekerjasama dengan petani tempatan, membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia dan ibu bekerja serta berusaha mengurangkan sisa melalui amalan ekonomi kitaran.

Namun, cabaran besar adalah mengubah persepsi bahawa tempe hanyalah makanan tradisional yang mempunyai bau kuat, sukar disimpan dan perlu dimasak sebelum dinikmati.

Masalah jangka hayat, kapasiti pengeluaran, kos logistik dari Sabah dan tuntutan cita rasa pelanggan moden turut perlu ditangani.

“Daripada cabaran itu lahir beberapa pembaharuan,” katanya.

Kerepek tempe dihasilkan dengan label bersih tanpa MSG, bahan pengawet atau perisa tiruan, manakala tempe kukus sedia dimakan dibangunkan supaya boleh disimpan pada suhu bilik sehingga 15 bulan.

Ciri tersebut menjadikannya lebih mudah dibawa, diedarkan dan dieksport.

Maklum balas pelanggan yang diterima melalui media sosial, pameran dan platform e-dagang pula digunakan untuk menambah baik pembungkusan, saiz produk, cara penggunaan serta komunikasi jenama.

“Inovasi bukan sekadar menghasilkan produk baharu, tetapi menyelesaikan masalah pelanggan dan menjadikan makanan sihat lebih praktikal serta lazat,” katanya.

Shopee kemudian membantu jenama yang bermula di Sabah itu melangkaui batasan geografi.

Pelanggan dari seluruh Malaysia boleh menemui, memahami dan membeli produk tanpa perlu menunggu ia tersedia di kedai berhampiran.

Platform itu turut memberi ruang untuk menguji sambutan produk baharu, menjalankan promosi dan menerima maklum balas secara langsung melalui penilaian serta ulasan pelanggan.

Data jualan dan tingkah laku pembelian pula membantu mereka memahami produk yang paling diminati, lokasi permintaan dan corak pembelian pengguna.

Kempen serta ekosistem logistik Shopee turut membantu meningkatkan keterlihatan jenama dan memudahkan penghantaran dari Sabah ke pasaran yang lebih luas.

Bagi Tem Tem Sabah, digitalisasi menjadi satu saluran penting yang melengkapi rangkaian pasar raya, pengedar dan aktiviti eksport.

“Daripada sebuah produk tempatan yang bermula di Sabah, kini wujud peluang untuk Tem Tem Sabah dikenali sebagai jenama makanan berasaskan tumbuhan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Warisan yang terus bergerak ke hadapan 

Kisah para usahawan ini menunjukkan bahawa warisan tidak semestinya menjadi sesuatu yang hanya dikenang.

Ia boleh menjadi asas untuk mencipta sesuatu yang baharu.

Resipi keluarga boleh terus berkembang, cita rasa tradisional boleh disesuaikan dengan gaya hidup moden, pakaian lama boleh diberi wajah baharu, manakala produk dari Sabah boleh menembusi sempadan geografi.

Apa yang membezakan perjalanan mereka ialah keberanian untuk berubah tanpa memutuskan hubungan dengan akar yang membentuk identiti masing-masing.

Dalam perjalanan itu, sokongan ekosistem digital seperti Shopee memberikan ruang untuk mereka menemui pelanggan baharu, memahami pasaran dan mengembangkan perniagaan melangkaui batas fizikal.

Bagi usahawan tempatan, peluang baharu tidak semestinya menuntut mereka melupakan dari mana mereka bermula.

Sebaliknya, dengan warisan sebagai akar dan inovasi sebagai penggerak, cerita perniagaan Malaysia mempunyai ruang untuk terus berkembang; daripada komuniti setempat kepada pasaran yang jauh lebih luas.