PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang didakwa mengaitkan pendirian Pakatan Harapan (PH) dengan persoalan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Danish berkata, Asyraf perlu menjelaskan bahagian mana dalam kenyataan PH yang didakwa mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya cuma mahu tanya satu perkara, ayat mana dalam kenyataan Pakatan Harapan yang mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
“Jangan letakkan perkataan yang tidak pernah disebut oleh PH,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di media sosial.
Menurutnya, pendirian PH adalah jelas iaitu menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, selain menegaskan pendirian berkaitan rasuah, salah guna kuasa, hukuman mahkamah dan kedaulatan undang-undang.
“Itu pendirian terhadap rasuah. Bukan serangan terhadap institusi Raja,” katanya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada pendirian PH sebelum ini yang menegaskan individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mempersoalkan pendirian berkenaan dan menyifatkannya sebagai seolah-olah mengetepikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Beliau pada masa sama menegaskan UMNO tidak mahu mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan.
Isu itu timbul ketika persoalan berkaitan pengampunan Najib kembali menjadi perhatian, termasuk susulan pendirian PH mengenai hukuman terhadap pesalah rasuah serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Danish turut menegaskan bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tetap dihormati PH.
“Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dinafikan atau dipertikaikan dalam kenyataan PH,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, menghormati kuasa pengampunan tidak bermaksud mana-mana pihak perlu berdiam diri dalam membincangkan isu rasuah.
Menurutnya, UMNO sendiri telah menyatakan tidak mahu mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dan proses berkenaan sewajarnya dibiarkan berjalan mengikut Perlembagaan.
“Kalau begitu, biarkan proses itu berjalan mengikut Perlembagaan,” katanya.
Ujar Danish, isu rasuah dan integriti tidak seharusnya dialihkan kepada persoalan berkaitan institusi Raja.
“Jangan setiap kali berdepan persoalan tentang rasuah dan integriti, institusi Raja pula diheret masuk untuk mengubah gelanggang perbahasan.
“PH tidak mempertikaikan Raja. PH mempertahankan prinsip bahawa rasuah mesti dilawan dan kedaulatan undang-undang mesti dihormati,” katanya.