Israel buka kedutaan di Slovenia, PM pula berdepan cubaan dipecat

Iklan
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, bertemu rakan sejawatnya dari Slovenia, Tone Kajzer, di Ljubljana, Slovenia pada 9 September 2026. REUTERS/Borut Zivulovic

LJUBLJANA – Israel membuka kedutaan pertamanya di Slovenia pada Rabu, ketika langkah memperkukuh hubungan kedua-dua negara itu pula mencetuskan krisis politik terhadap Perdana Menteri Slovenia, Janez Janša.

Memetik laporan Reuters, pembukaan kedutaan berkenaan menandakan perubahan ketara dalam hubungan Israel-Slovenia selepas Janša membentuk kerajaan berhaluan kanan tengah pada tahun ini.

Iklan
Iklan

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, yang hadir pada majlis pembukaan di Ljubljana, menyifatkan perkembangan itu sebagai detik bersejarah dan tanda komitmen Israel untuk memperkukuh hubungan dengan Slovenia.

Saar dan Menteri Luar Slovenia, Tone Kajzer, turut menandatangani memorandum kerjasama dalam bidang pendidikan, sains, kebudayaan, belia dan sukan.

Iklan

Satu forum ekonomi turut diadakan dengan penyertaan delegasi ahli perniagaan Israel bagi meneroka peluang pelaburan antara kedua-dua negara namun, perkembangan diplomatik itu hadir bersama pergolakan politik dalam negara.

Memetik laporan Associated Press (AP), parti pembangkang Freedom Movement dan Left mengemukakan cadangan di Parlimen untuk menyingkirkan Janša, selain menyasarkan Kajzer.

Iklan

Mereka mempersoalkan dasar luar kerajaan yang dilihat semakin condong kepada Israel, termasuk keputusan membatalkan beberapa langkah yang diperkenalkan kerajaan terdahulu terhadap Israel.

Kerajaan Slovenia sebelum ini mengiktiraf negara Palestin pada 2024, selain mengenakan larangan import dari penempatan Israel serta sekatan terhadap beberapa pegawai Israel.

Selepas Janša mengambil alih pentadbiran, langkah-langkah tersebut dibatalkan dan kerajaan baharu memilih untuk memperbaiki hubungan dengan Israel.

Menurut AP, bekas Perdana Menteri Slovenia, Robert Golob, mengkritik perubahan dasar tersebut dan mendakwa pembukaan kedutaan Israel menunjukkan Slovenia semakin menjauh daripada pendirian terdahulu berhubung undang-undang antarabangsa.

Pada masa sama, beberapa kumpulan pelajar, parti pembangkang berhaluan kiri dan kumpulan pro-Palestin merancang mengadakan bantahan terhadap pembukaan kedutaan berkenaan.

Slovenia merupakan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan NATO dengan populasi sekitar dua juta penduduk. Sebelum ini, urusan diplomatik Israel dengan Slovenia dikendalikan menerusi kedutaan Israel di Vienna, Austria.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Israel berdepan tekanan diplomatik yang semakin meningkat daripada beberapa negara Barat berhubung dasar penempatan di Tebing Barat.