Rahsia emas UPM

Iklan
UPM muncul juara SUKIPT 2026 setelah mengutip 35 emas, 20 perak dan 15 gangsa. Gambar kecil: Dr Ahmad Farhan

BUKAN sekadar mengumpul pingat, sebaliknya membina atlet dari akar umbi hingga ke tahap prestasi tinggi menjadi formula Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali merampas takhta Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Selepas terlepas gelaran kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada edisi 2024, UPM tampil dengan pendekatan lebih tersusun dan akhirnya menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan dengan 35 emas, 20 perak dan 15 gangsa.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu turut melengkapkan koleksi UPM kepada empat kejuaraan SUKIPT, selepas sebelum ini muncul juara pada edisi pertama, keempat dan kelima, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara institusi paling berjaya dalam temasya berkenaan.

Namun, di sebalik angka pingat itu, rahsia kejayaan UPM terletak pada ekosistem pembangunan atlet yang dibina secara berterusan dan tidak bermula hanya beberapa bulan sebelum temasya berlangsung.

Iklan

Skuad wanita mengungguli acara hoki setelah menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia 1-0 di Bangi.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pembangunan atlet di universiti itu dirangka secara menyeluruh menerusi Akademi Sukan UPM, bermula dengan pencarian bakat sebelum diteruskan melalui latihan sistematik, sokongan sains sukan dan kebajikan.

Iklan

Ramuan kedua ialah pengkhususan, apabila UPM tidak meletakkan semua cabang sukan di bawah pendekatan yang sama, sebaliknya memberi tumpuan khusus kepada disiplin yang berpotensi menghasilkan atlet berprestasi tinggi.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi Pusat Kecemerlangan Sukan bagi olahraga serta Pusat Sukan Tumpuan bagi ragbi, memanah dan sepak takraw, selain Projek Larian Bawah 10 Saat yang memberi fokus khusus kepada pembangunan pelari pecut.

Menurut Ahmad Farhan, kekuatan sebenar sistem itu bukan hanya terletak pada kemudahan atau program, tetapi bagaimana seluruh warga universiti bergerak sebagai satu pasukan.

“Setiap atlet membawa bakat dan impian masing-masing, namun mereka bersatu sebagai satu pasukan demi mengharumkan nama universiti dan negara,” katanya.

Prinsip tersebut selari dengan gagasan 'True North' UPM, khususnya semangat ‘daripada saya kepada kita’, yang menjadikan kejayaan individu sebagai sebahagian daripada matlamat lebih besar universiti.

Skuad sepak takraw UPM menjuarai acara beregu lelaki setelah mengalahkan Universiti Pendidikan Sultan Idris 2-1 dalam aksi akhir di Pusat Sukan UM.

Malah pendekatan itu turut seiring dengan Domain Strategik 4 Pelan Strategik UPM 2026–2030, iaitu Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra, yang menekankan pembentukan warga berdaya tahan dan beridentiti kukuh.

Dalam pembangunan atlet pelajar, penjagaan kebajikan serta sokongan seluruh warga universiti membantu mereka menghadapi tekanan pertandingan, mengimbangi sukan dengan akademik dan membawa semangat Jiwa Putra di gelanggang.

Bukti keberkesanan formula itu terserlah menerusi prestasi olahraga yang menyumbang 15 emas, selain hoki lelaki dan wanita, bola jaring serta bola tampar wanita yang turut muncul juara.

Malah, kemampuan sistem itu melahirkan atlet yang mampu bertindak di bawah tekanan dapat dilihat menerusi gandingan Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza-Sayyeda Khadeeja Anis Fadhil dalam acara 10 meter (m) pistol angin berpasukan campuran untuk memenangi emas.

Lebih menarik, kejayaan itu hadir dalam keadaan Syafiq terpaksa menggunakan senjata berbeza buat kali ketiga sepanjang persiapan dan pertandingan, manakala Sayyeda pula menggunakan senjata pinjaman yang hanya sempat dicubanya sebelum final.

Situasi itu memperlihatkan satu lagi ramuan penting dalam sistem UPM, iaitu keupayaan atlet menyesuaikan diri dan kekal tenang apabila berdepan masalah, bukannya bergantung sepenuhnya kepada keadaan ideal.

UPM bagaimanapun tidak menutup mata terhadap kelemahan apabila skuad ragbi gagal ke final selepas tewas di separuh akhir dan terpaksa berpuas hati dengan gangsa, menunjukkan penilaian prestasi turut menjadi sebahagian daripada proses pembangunan.

Ahmad Farhan berkata, kemenangan di SUKIPT bukan destinasi terakhir kerana universiti mahu membentuk atlet yang mampu mengimbangi tuntutan sukan dengan akademik serta memiliki disiplin dan daya tahan tinggi.

“Berteraskan motto ‘Berilmu Berbakti’, UPM mahu melahirkan atlet pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan dan akademik, tetapi turut berdisiplin, berdaya tahan serta bersedia menyumbang kepada negara,” katanya.

Justeru, formula UPM bukan hanya tentang bagaimana memenangi SUKIPT, tetapi bagaimana menjadikan temasya itu sebagai satu lagi platform untuk menyediakan atlet pelajar ke peringkat lebih tinggi.

“Mereka perlu terus dibimbing agar mampu membawa cabaran Malaysia ke Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan ekosistem dan sokongan yang tepat, atlet pelajar mampu mencapai kecemerlangan pada tahap tertinggi,” katanya.

Jika formula itu terus diperkemas, kejayaan UPM di SUKIPT 2026 mungkin bukan sekadar kisah sebuah universiti mengutip emas terbanyak, tetapi bukti bahawa gabungan bakat, sistem, kepakaran dan semangat berpasukan mampu melahirkan atlet pelajar yang benar-benar bersedia untuk pentas lebih besar.