AI bantu Selangor jawab aduan rakyat - Mohammad Fahmi
Iklan
Mohammad Fahmi (tengah) meletakan tangan sebagai simbolik pada Majlis Penutup HEKATON dan Forum AI di sini pada Rabu.
SHAH ALAM - Persepsi rakyat kononnya kerajaan Selangor tidak mengambil tindakan terhadap masalah seperti banjir, sampah haram dan jalan berlubang boleh ditangani menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis data aduan secara lebih pantas dan tepat.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, ribuan aduan diterima pihak berkuasa tempatan (PBT), namun data itu selama ini kebanyakannya tersimpan dalam bentuk Excel dan tidak dipersembahkan secara menyeluruh kepada umum.
Iklan
Iklan
Menurutnya, teknologi AI kini dimanfaatkan bagi membantu kerajaan negeri memahami pola aduan, mengenal pasti lokasi bermasalah dan menentukan tindakan yang lebih tepat.
"Isu utama apabila rakyat bising seolah-olah kerajaan negeri tidak membuat kerja, walhal data mengenai aduan itu wujud dalam jumlah beratus dan beribu.
Iklan
"Melalui AI, kita boleh melihat data itu dengan lebih baik dan mencari penyelesaian tuntas serta jawapan lebih tepat dengan pantas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup HEKATON dan Forum AI di sini pada Rabu.
Iklan
Mohammad Fahmi berkata, penggunaan AI bukan sekadar untuk mendapatkan rumusan daripada data, sebaliknya ia boleh digunakan bagi membuat analisis lebih khusus termasuk unjuran berdasarkan lokasi, tarikh, hari dan jenis aduan.
Belian menjelaskan, analitik sedemikian memerlukan perisian khusus yang perlu disesuaikan mengikut keperluan kerajaan negeri dan tidak semestinya dapat diselesaikan menggunakan perisian AI umum seperti Gemini atau ChatGPT.
"Perisian analitik khusus ini memerlukan sedikit penyesuaian untuk mengkhususkan penggunaannya bagi tujuan berkenaan," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan kumpulan fokus (FGD) pada bulan ini bagi mengenal pasti 20 proses kerja di PBT yang boleh dimasukkan elemen AI bagi mempercepatkan automasi dan pendigitalan.
Menurut beliau, antara penggunaan AI yang turut diberi perhatian ialah analisis data berkaitan banjir, lokasi tapak sampah haram dan jalan berlubang di Selangor.
Beliau berkata, Hackathon AI Selangor 2026 yang julung kali dianjurkan turut membuktikan negeri itu mempunyai bakat muda dalam bidang teknologi berkenaan.
Katanya, program itu menerima 88 penyertaan pada peringkat awal sebelum 30 peserta dipilih selepas melalui proses tapisan dan saringan.
"Tiga pemenang daripada pihak swasta dipilih dan mereka ini akan diberi peluang bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengaplikasikan AI untuk menganalisis data yang ada di Selangor," ujar beliau.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi pengiktirafan kepada tiga syarikat yang menjalankan latihan AI, manakala salah satu daripadanya sudah dipilih untuk bekerjasama melatih tenaga kerja dalam struktur kerajaan negeri.
Selain itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpilih di Selangor turut akan diberikan latihan berkaitan AI sebelum melanjutkan pengajian ke universiti.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Fahmi berkata, persiapan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 bagi sekolah agama bawah kerajaan negeri untuk sesi tahun depan sedang diselesaikan termasuk perancangan penambahan kelas.
Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengemukakan cadangan penambahan kelas termasuk penggunaan kabin sementara bagi memastikan kemasukan murid dapat dilaksanakan dengan sempurna dan selesa.
"Kita difahamkan tiada masalah besar yang akan berlaku untuk kemasukan Tahun 1 sesi 2027,” jelas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, sasaran itu disokong peningkatan 64.8 peratus jumlah pembayar zakat dalam kalangan warga ATM kepada 613 orang setakat Julai tahun ini, berbanding 372 orang pada tahun lalu.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/795359/edisi/selangor-kl/zakat-selangor-sasar-kutipan-zakat-rm1-juta-warga-atm-menjelang-2028
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.