ATLET powerlifting Kelantan, Wan Nur Azri Wan Azman mempamerkan aksi luar biasa apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali berturut-turut untuk meraih emas kategori lelaki melebihi 107 kilogram (kg) pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pada Rabu.
Beraksi di Selangor International Trade Centre, Shah Alam, atlet berusia 29 tahun itu memadam rekod milik Mohd Fauzan Ramlan dari Sabah, iaitu 171kg, menerusi angkatan 180kg pada percubaan pertama.
Wan Nur Azri kemudian memperbaharui catatan itu kepada 190kg pada percubaan kedua dan 195kg pada percubaan ketiga sebelum melengkapkan aksi gemilang dengan angkatan 200kg pada percubaan tambahan.
Angkatan berkenaan turut memadam rekod temasya 122kg, sekali gus menyaksikan Wan Nur Azri meninggalkan pencabar dari Sabah, Maxmalcolm Symond yang meraih perak dengan 145kg, manakala Tan Pein Chuen dari Johor membawa pulang gangsa selepas melakukan 130kg.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut, atlet kelahiran Kota Bharu berkenaan mengakui terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan pergelangan tangan kanan yang dialaminya ketika latihan kira-kira sebulan sebelum Para SUKMA.
"Sememangnya saya cukup gembira, cuma sekarang saya cedera di pergelangan tangan yang berlaku ketika latihan kira-kira sebulan sebelum Para SUKMA," katanya.
Menurutnya, kecederaan berkenaan hampir menyebabkan peluangnya beraksi terjejas, malah dia berdepan detik cemas ketika melakukan angkatan ketiga sebelum berjaya mengumpulkan kekuatan mental untuk me
Kejayaan mengangkat 200kg itu cukup bermakna buat Wan Nur Azri kerana ia menamatkan penantian selama sedekad sejak mula menceburi sukan berkenaan ketika di bangku sekolah.
"Saya sudah lama impikan perkara ini. Akhirnya tercapai juga selepas 10 tahun," katanya yang berseloroh mendedikasikan pencapaian itu kepada diri sendiri selepas melalui pelbagai kecederaan sepanjang karier.
Wan Nur Azri mengakui pada awalnya memilih sukan memanah sebelum dipujuk keluarga untuk beralih kepada powerlifting, keputusan yang akhirnya menjadi titik tolak kepada kejayaan dalam kariernya.
Kejayaan memecahkan empat rekod kebangsaan itu turut dikongsi bersama jurulatihnya, Ma Hussein Mat Noh yang setia membimbing dan membentuk prestasinya sejak awal pembabitan dalam sukan tersebut.
Atlet di bawah program podium itu berkata, tiada lagi kejohanan antarabangsa untuk disertainya tahun ini, namun dia tidak mahu berhenti setakat pencapaian di Para SUKMA.
Sebaliknya, Wan Nur Azri menyasarkan pentas lebih tinggi dengan memasang impian untuk mewakili negara pada Sukan Paralimpik suatu hari nanti.
"Saya mahu terus berusaha dan memperbaiki prestasi. Impian terbesar saya adalah untuk beraksi di Sukan Paralimpik," katanya.