JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menganggap pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai satu penghormatan yang mampu menyuntik motivasi tambahan sebelum beraksi di Jepun.
Pelari berusia 22 tahun itu berkata tanggungjawab berkenaan turut disertai peranan membaca ikrar, sekali gus membuatkannya berasa bangga kerana diberi kepercayaan mewakili atlet negara.
“Sedikit gementar, tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi pembawa bendera dan pembaca ikrar.
“Saya gembira, bersyukur dan tentunya bermotivasi dengan kepercayaan yang diberikan. INSYA-ALLAH, ini akan membantu saya untuk memberikan segala-galanya pada Sukan Asia nanti,” katanya.
Azeem akan memikul amanah membawa Jalur Gemilang bersama ratu wushu negara, Tan Cheong Min, pada Sukan Asia ke-20 yang dijadual berlangsung di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Azeem yang bakal membuat penampilan kedua di temasya itu berkata, persiapan kali ini turut memberikan keyakinan apabila kontinjen negara dibarisi atlet berpengalaman di pentas Asia dan dunia.
Berbeza dengan penampilan pertamanya di Hangzhou 2022, Azeem kini hadir dengan matlamat yang lebih jelas apabila mahu mencabar kelompok terbaik acara 100 meter (m) dan melangkah ke final.
“Saya masih menganggap diri sebagai pelari muda dan masih berusia 22 tahun. Perjalanan saya masih panjang. Di Asia, ramai pelari pecut yang lebih senior, berpengalaman dan mempunyai pencapaian lebih baik.
“Tetapi kali ini saya tidak datang dengan mentaliti hanya mahu melakukan yang terbaik. Saya mahu menyambung apa yang saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Pada edisi Hangzhou 2022, Azeem mencipta kejutan apabila meraih gangsa 100m, sekali gus memberikan pengalaman berharga dalam penampilan sulungnya di Sukan Asia.
Pengalaman tersebut dijadikan sandaran untuk memburu pencapaian lebih baik di Aichi-Nagoya, namun Azeem memilih untuk meletakkan sasaran secara berperingkat.
“Sudah tentu sasaran saya adalah layak ke final terlebih dahulu. Itu cabaran pertama. Jika berjaya layak ke final, INSYA-ALLAH saya yakin dengan diri sendiri dan mungkin perkara sama boleh berlaku atau lebih baik daripada itu,” katanya.