Lelaki meninggal dunia ketika pasang tangki septik

Iklan
Anggota bomba turun ke lubang tangki untuk membawa mangsa naik - Foto: JBPM

KOTA BHARU – Seorang buruh meninggal dunia selepas dipercayai mengalami serangan jantung ketika melakukan kerja pemasangan tangki septik di Taman Permai Demit, Kubang Kerian pada Rabu.

Mangsa, Zakari Mat Jusoh, 48, dilaporkan rebah sebelum tidak sedarkan diri ketika berada di dalam lubang tangki septik sedalam kira-kira tiga meter dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5.20 petang.

Iklan
Iklan

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Mohd Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.28 petang sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, mangsa didapati berada di dalam lubang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Iklan

“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

Mohd Ridzuan berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada ahli keluarga, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan baharu sahaja keluar dari hospital sebelum kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi proses selanjutnya,” katanya.