Tun Abdul Razak: Arkitek pembangunan negara bangsa, legasi jadi panduan

Iklan
Anwar (tengah) bersama Nazir Razak (kiri) dan Tun Musa ketika hadir ke program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak yang diadakan di Memorial Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur pada Selasa.

Anwar (tengah) bersama Nazir Razak (kiri) dan Tun Musa ketika hadir ke program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak yang diadakan di Memorial Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Legasi Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam membina asas perpaduan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi negara terus relevan sebagai panduan dalam memperkukuh pembinaan negara bangsa hari ini.

Iklan
Iklan

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sumbangan negarawan itu bukan sekadar tercatat dalam sejarah, malah asas yang dibina sejak beberapa dekad lalu terus diterjemahkan menerusi pelbagai usaha kerajaan dalam memperkukuh perpaduan dan identiti nasional.

“Tun Abdul Razak memainkan peranan penting dalam memulihkan keamanan dan kestabilan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969, khususnya ketika mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan pada 16 Mei 1969.

Iklan

“Di bawah kepimpinan MAGERAN, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan pada Julai 1969, manakala Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan pada Januari 1970 sebagai platform membina semula perpaduan nasional,” katanya ketika berucap pada program 'Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak, di sini pada Selasa.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan ahli keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak termasuk Tan Sri Mohamed Nazir Razak.

Iklan

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara dan Yayasan Tun Razak itu dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan Hari Malaysia selain bertujuan mengenang serta mengangkat legasi negarawan supaya terus dikenali dan dihayati generasi masa kini serta akan datang.

Asas perpaduan terus diperkasa

Aaron ketika berucap di program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu Aaron menegaskan, asas perpaduan yang dibina ketika era Allahyarham Tun Abdul Razak kini diteruskan melalui gerak kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menurut beliau, lebih 8,659 Kawasan Rukun Tetangga, 5,507 Skim Rondaan Sukarela dan lebih 1,700 Tabika Perpaduan menjadi antara platform penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi.

Dalam menangani isu perpaduan, pendekatan reformatif turut diperkasa menerusi perkhidmatan mediasi yang melibatkan 595 mediator dan 12 Pusat Mediasi Komuniti, selain Sistem RAKAN sebagai saluran rakyat melaporkan isu untuk tindakan segera agensi kerajaan berkaitan.

“Antara hasil penting usaha MAGERAN ialah pengisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan.

“Setelah 56 tahun, Rukun Negara kekal relevan dan terus menjadi kompas dalam membina jati diri serta memperkukuh perpaduan rakyat,” ujarnya.

Bagi memastikan penghayatan Rukun Negara berkembang mengikut keperluan zaman, Aaron menjelaskan, Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan pendekatan cradle to grave melalui Tabika Perpaduan seawal usia empat tahun, sebelum diteruskan menerusi Kelab Rukun Negara di sekolah dan Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi.

Selain itu beliau berkata, pelbagai inisiatif turut diperkenalkan kerajaan termasuk Gerak Integrasi Perpaduan, Jelajah Belia Rukun Negara, Citra Negaraku dan Arkib@Sekolah bagi meningkatkan penghayatan serta pengamalan Rukun Negara.

Pendidikan dan ekonomi

Anwar (kiri) bersama Ahmad Zahid (belakang) dan Nazir (dua dari kanan) meluangkan masa melawat Memorial Tun Abdul Razak di Sri Taman, pada Selasa.

Selain perpaduan, Allahyarham Tun Abdul Razak turut meninggalkan legasi besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi negara.

Menerusi Penyata Razak 1956, Aaron memaklumkan, Perdana Menteri kedua itu meletakkan asas kepada sistem pendidikan kebangsaan dengan menjadikan pendidikan sebagai instrumen penting untuk membina identiti bersama dengan memelihara kepelbagaian bahasa serta budaya.

Dalam pembangunan ekonomi pula, negarawan yang digelar ‘Bapa Pembangunan’ itu meletakkan asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi.

Menerusi Rancangan Buku Hijau, Allahyarham Tun Abdul Razak turut memberi penekanan kepada peningkatan pengeluaran makanan, penggunaan tanah secara optimum dan penambahan pendapatan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.

Legasi diteruskan menerusi RMK13

Mengambil semangat dan gagasan yang dipelopori negarawan terdahulu, Kementerian Perpaduan Negara kini terus memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa. Aaron menjelaskan, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kementerian itu diberi mandat untuk menerajui Tonggak Pembinaan Negara Bangsa sebagai antara agenda penting dalam memperkukuh perpaduan dan identiti nasional.

“Kementerian kini sedang memperkukuh langkah tersebut melalui pembangunan Blueprint Pembinaan Negara Bangsa.

“Blueprint ini akan memperkukuh beberapa asas penting termasuk pemerkasaan identiti nasional, penghayatan Rukun Negara, pendidikan kenegaraan, pengukuhan perpaduan di peringkat komuniti serta penglibatan generasi muda,” katanya.

Anwar bersama Ahmad Zahid dan Aaron pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak yang diadakan di Memorial Tun Abdul Razak padaSelasa.

Sementara itu Aaron berpandangan, usaha mengenang Allahyarham Tun Abdul Razak bukan semata-mata melihat kepada sejarah, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat memahami pemikiran, kepimpinan dan perjuangan seorang negarawan yang memainkan peranan besar dalam membentuk asas negara bangsa.

Malah menurutnya, Sri Taman yang menjadi lokasi program berkenaan, turut mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana pernah menjadi kediaman rasmi Allahyarham dari tahun 1962 sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1976.

“Sri Taman bukan sekadar sebuah rumah, tetapi sebahagian daripada ruang sejarah yang menyaksikan perjalanan pemikiran, kepimpinan dan perjuangan seorang arkitek pembangunan negara bangsa,” ujarnya.

Hayati, semarakkan obor perjuangan Tun Abdul Razak – Anwar

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya menggesa generasi muda agar tidak sekadar mengenali Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai tokoh sejarah, sebaliknya menghidupkan semula obor perjuangan dan gagasan negawaran itu dalam mendepani cabaran pembinaan negara bangsa.

Beliau berkata, usaha mengenang jasa Perdana Menteri kedua itu perlu disertai dengan pemahaman mendalam terhadap gagasan, pemikiran serta nilai yang diperjuangkannya agar dapat dijadikan panduan utama dalam menghadapi cabaran semasa.

“Tokoh ini tidak sembarangan dan tidak datang dan pergi sebagai suatu kisah sejarah yang mudah.

“Sebab itu tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk menyemarakkan lagi api semangat obor perjuangnnya.

“Mengenang negarawan bukan tugas mudah (kerana) ia boleh menyingkap sejarah, mendambakan peubahan, mengidupkan semangat kewajaran untuk dijadikan pengajaran dan iktibar,” katanya.