KUALA LUMPUR - Pemakaian baju lokap berwarna ungu dan gari oleh bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu adalah atas kehendak dirinya sendiri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, Azeez sebelum dibawa ke mahkamah sudah dinasihati pegawai SPRM, pegawai polis yang mengiringinya serta peguamnya supaya menukar kepada pakaian biasa.
Menurut SPRM, beliau turut dimaklumkan bahawa pemakaian gari tidak diperlukan.
"Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.
"SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM," menurut kenyataan itu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Abdul Azeez dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di sini untuk prosiding reman berasingan sebelum menghadapi pertuduhan rasuah pada Rabu
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman petang Selasa sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Dalam pada itu, SPRM meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung perkara berkenaan.