MARAN - Masalah gangguan bekalan air bersih dan tekanan air rendah yang sekian lama menjadi cabaran kepada penduduk kini menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan beberapa projek penambahbaikan sistem agihan air di beberapa kawasan di daerah ini.
Antara kawasan yang sebelum ini kerap terjejas termasuk sekitar Pekan Sri Jaya dan Pekan Awah di sini melibatkan kira-kira 4,300 akaun pengguna.
Bagi mengatasi masalah dihadapi kira-kira 3,100 akaun pengguna di kawasan Pekan Sri Jaya, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaksanakan projek pemasangan paip air baharu melibatkan jajaran dari tangki imbangan Pekan Tajau ke kawasan tersebut.
Usaha itu bagi memastikan sistem agihan air dapat berfungi dengan lebih baik sekali gus membantu meningkatkan bekalan air kepada pengguna di kawasan berkenaan.
Sumber bekalan air bagi kawasan Pekan Sri Jaya daripada Loji Rawatan Air (LRA) Pekan Tajau dan projek berkenaan kini telah mencapai kemajuan kira-kira 90 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pekan Sri Jaya, Chow Kok Cheng berkata, masalah bekalan air sebelum ini amat dirasai penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan lebih tinggi.
Beliau kerap menerima aduan penduduk yang berdepan kesukaran setiap kali berlaku gangguan bekalan air.
"Sebelum ini, ia sangat teruk kerana kami tidak dapat menerima bekalan air kerana berada di kawasan tinggi.
"Ia menimbulkan masalah kepada aktiviti seharian penduduk kerana air sangat mustahak," katanya ketika ditemui barubaru ini.
Bagaimanapun, Kok Cheng berkata, keadaan bekalan air di kawasan berkenaan kini jauh lebih baik berbanding dahulu sehingga penduduk dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang.
"Sekarang memang sudah baik, dapat tidur dengan tenang. Jika ada tangki besar di kawasan ini, ia lebih baik supaya semua rumah tidak kira kawasan tinggi atau rendah dapat air," katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk Taman Emas Sri Jaya, Nga Koo Sun pernah berdepan masalah terputus bekalan air selama seminggu semasa cuti Tahun Baharu Cina.
"Pada tahun 2000, kami terpaksa berdepan dengan masalah air dalam tempoh seminggu.
"Ia antara pengalaman paling buruk. Kini, keadaan sudah berubah dan jauh lebih baik berbanding dulu, saya boleh memberikan markah 85 daripada 100. Penduduk pun sudah tidak bising lagi," katanya.
Penduduk syukur bekalan air kembali lancar
Sementara itu, usaha penambahbaikan turut dilaksanakan di Pekan Awah selepas kawasan berkenaan turut dikenal pasti berdepan isu gangguan bekalan air bersih dan tekanan air rendah melibatkan kira-kira 1,200 akaun pengguna.
Sebagai sebahagian daripada langkah penyelesaian, PAIP melaksanakan projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah rumah pam penggalak termasuk pemasangan paip bagi kawasan Pekan Awah.
Kemudahan berkenaan berperanan membantu meningkatkan sistem agihan serta tekanan air kepada pengguna di kawasan yang terlibat.
Pengerusi JPKK Kampung Awah, Azman Rafar berkata, penduduk pernah melalui pengalaman sukar apabila bekalan air terputus untuk tempoh yang panjang.
Menurutnya, kira-kira tiga atau empat tahun lalu, gangguan bekalan air pernah berlaku selama lebih dua minggu sehingga beliau terpaksa mendapatkan bekalan air mineral untuk diagihkan kepada penduduk.
"Pada waktu itu, ia agak kritikal, orang kampung merungut dan marah. Keadaan berkenaan memaksa penduduk mencari sumber bekalan alternatif untuk kegunaan harian sebelum masalah berkenaan mendapat perhatian dan tindakan daripada PAIP," katanya.
Azman berkata, kini ia jauh berbeza apabila hampir tiada lagi kedengaran rungutan berkaitan tekanan air.
Bagaimanapun katanya, gangguan air masih boleh berlaku pada masa tertentu terutama ketika musim perayaan.
“Ia berlaku disebabkan kawasan ini berkongsi sumber bekalan air dengan Temerloh, namun tindakan pantas PAIP Maran dan Temerloh bekalan dapat disalurkan kepada pengguna," katanya.
Beliau juga menghargai kesungguhan kerajaan negeri dalam menangani isu bekalan air dan berharap usaha tersebut diteruskan bagi memastikan bekalan air bersih dapat dinikmati penduduk di seluruh Pahang.
Urusan harian berjalan lancar
Pengerusi JPKK Kampung Baru Bukit Lada, Pekan Awah, Mohd Nor Azanizam Mat Dris pula berkata, gangguan bekalan air kini hanya berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan dan notis akan dikeluarkan kepada pengguna.
"Dari sudut perbezaan iitu, ia sangat ketaralah dulu dan sekarang. Ada sebahagian kawasan masih guna paip lama jadi perlu ada penambahbaikan dalam aspek itu," katanya.
Penduduk Kampung Bukit Lada, Mohd Razali Abu Samah turut mempunyai pandangan yang sama.
Katanya, kehidupan penduduk kini lebih mudah selepas menerima kemudahan bekalan air paip berbanding sebelum ini yang bergantung kepada sungai dan perigi sebagai sumber air utama.
"Setelah adanya kemudahan air paip ini, ia memudahkan urusan harian penduduk,"ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Zuraidah Mohamed berkata, urusan hariannya kini lancar dan tidak perlu bimbang lagi dengan masalah bekalan air bersih.
"Alhamdulillah, sejak ada bekalan air paip yang lebih baik, ia memudahkan segala urusan harian sepetti memasak, membasuh dan lain-lain. Tidak perlu lagi menggunakan tenaga mengangkut air.
"Jika hari raya, anak-anak balik pun dah tak risau dengan masalah air. Apabila ada bekalan air, mereka seronok balik beraya," ujarnya.
Sementara itu, rata-rata penduduk penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan PAIP yang prihatin dengan masalah bekalan air dihadapi rakyat di negari ini.
"Terima kasih Tok Wan!," kata mereka.