KOTA BHARU – Daripada penerima bantuan kepada pembayar zakat.
Itulah pencapaian membanggakan Zawiah Nafi, 50, selepas bertahun-tahun berusaha mencari rezeki bagi menyara empat anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap Sindrom Emanuel serta masalah jantung berlubang.
Menurut Zawiah, menunaikan zakat perniagaan buat pertama kali merupakan detik yang tidak pernah dibayangkannya, apatah lagi selepas melalui pelbagai cabaran untuk memastikan keluarganya mempunyai sumber pendapatan.
Sebelum menceburi perniagaan ayam goreng, dia pernah menjual ikan, tudung dan pelbagai barangan lain, namun pendapatan diperoleh tidak stabil, manakala suaminya pula bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.
“Lama-kelamaan pelanggan semakin ramai, saya tambah kepada dua dan tiga ekor sehari. Alhamdulillah, sekarang saya mampu menjual sehingga enam ekor ayam sehari selain mampu membayar zakat,” katanya.
Dia ditemui selepas Majlis Graduasi MyREF HSP 2026 di sebuah hotel di Langgar di sini pada Rabu.
Pada majlis berkenaan, Zawiah menerima Anugerah Usahawan Terbaik daripada keseluruhan 20 asnaf Kelantan yang mengikuti latihan keusahawanan selama lima bulan menerusi Program Kemahiran Hijrahpreneur MyREF (HSP).
Peserta program berkenaan turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah keseluruhan RM4,131.45.
Zawiah berkata, penyertaannya dalam program itu meningkatkan keyakinannya untuk mengembangkan perniagaan selepas mempelajari kaedah pemasaran digital, pengurusan perniagaan dan strategi meningkatkan jualan.
“Dulu saya berniaga tanpa ilmu pengetahuan tetapi selepas menyertai program ini, saya lebih tahu cara menguruskan perniagaan dan lebih berani untuk berkembang.
“Sekarang saya sudah membuka sebuah kiosk dan bercadang membuka lebih banyak kiosk pada masa depan. Saya juga mahu menyediakan perkhidmatan penghantaran supaya perniagaan dapat berkembang dengan lebih luas,” katanya.
Anak OKU pembakar semangat
Dalam kesibukan mengembangkan perniagaan, Zawiah turut memikul tanggungjawab menjaga anak bongsunya, Muhamad Khairi Zafrey Mohd Khairudin, 12, yang menghidap Sindrom Emanuel.
Menurutnya, anaknya dilahirkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan termasuk jantung berlubang, masalah pendengaran dan lelangit sumbing selain tidak boleh bertutur.
“Dia juga masih perlu disuap ketika makan, memakai lampin pakai buang dan memerlukan perhatian sepanjang masa,” katanya.
Bagaimanapun, Zawiah berkata, keadaan anaknya bukan penghalang, sebaliknya menjadi pendorong untuk terus berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga.
“Anak saya bukan beban. Saya mahu pastikan dia mendapat penjagaan yang terbaik.
“Sebab itu saya sentiasa berusaha mencari jalan untuk memajukan perniagaan,” katanya.
Menurut Zawiah, perkembangan positif perniagaannya kini membolehkannya menunaikan zakat buat kali pertama dalam hidup, sesuatu yang amat bermakna selepas sebelum ini berada dalam kelompok penerima bantuan.
“Saya tak pernah sangka satu hari nanti boleh menjadi pembayar zakat. Selama ini saya hanya fikir bagaimana hendak mencari rezeki untuk keluarga.
“Apabila dapat bayar zakat, saya rasa sangat bersyukur kerana ALLAH memberi peluang kepada saya berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.