Flat Hijau digempur, 325 PATI ditahan

Iklan
Antara individu warga asing yang diperiksa dalam operasi pada pagi Rabu.

PUTRAJAYA - Sebuah pangsapuri dikenali sebagai Flat Hijau di sini yang didakwa dibanjiri warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan pada Rabu.

Operasi itu dijalankan susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang tinggi di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

JIM dalam kenyataan memaklumkan operasi membabitkan seramai 127 pegawai dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan serta pemantauan berdasarkan maklumat yang diterima.

Iklan

"Seramai 740 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 325 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 270 lelaki dan 55 perempuan berusia antara 18 hingga 56 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

JIM berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.

"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, JIM memandang serius setiap aduan dan maklumat awam berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen.

"Setiap maklumat yang mempunyai asas akan dinilai dan dikembangkan melalui risikan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

JIM turut memberi amaran tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menggaji, melindungi atau membantu warga asing melakukan kesalahan imigresen.

"Majikan dan pemilik premis diingatkan supaya memastikan setiap warga asing yang digaji atau ditempatkan mempunyai dokumen serta pas yang sah dan mematuhi syarat ditetapkan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang," katanya.

JIM turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat lengkap melalui saluran rasmi jabatan sekiranya mengesyaki keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen.