KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya undang-undang berkaitan jenayah penipuan dalam talian diperketat, termasuk mengenakan hukuman sebat dan penjara maksimum terhadap scammer.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@toqqi berkata, tindakan lebih tegas itu perlu bagi membendung kegiatan sindiket penipuan siber yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan rakyat mengalami kerugian kewangan dalam jumlah besar.
Menurutnya, undang-undang sedia ada perlu dikemas kini agar seiring dengan perkembangan modus operandi penjenayah siber yang semakin canggih.
“Sudah tiba masanya undang-undang negara dikemas kini kerana hukuman sedia ada dilihat terlalu ringan dan gagal memberi kesan pencegahan berkesan kepada dalang sindiket.
“Masyarakat tidak boleh terus berdiam diri apabila mangsa terus teraniaya, sedangkan penjenayah hidup selesa tanpa rasa takut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nadzim berkata, PPIM menyokong usaha PDRM membawa cadangan pindaan akta berkaitan ke peringkat kementerian bagi membolehkan hukuman lebih berat digubal dan dilaksanakan segera.
Beliau turut menyokong cadangan supaya hukuman sebat dan penjara maksimum dikenakan terhadap sindiket scammer kerana jenayah berkenaan bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan mangsa.
“Jenayah kolar putih ini mendatangkan kerosakan teruk yang menyamai jenayah berat serta merosakkan kesejahteraan hidup rakyat secara kejam,” katanya.
Dalam pada itu, PPIM mencadangkan tindakan lebih agresif di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi membekukan serta merampas harta dan aset yang diperoleh melalui kegiatan haram.
Nadzim berkata, kerajaan juga perlu memperketat kawalan terhadap institusi kewangan dan platform digital bagi memutuskan rantaian operasi sindiket penipuan dalam talian.
“Semua pihak termasuk pihak berkuasa, penggubal undang-undang dan rakyat perlu bersatu hati mendesak hukuman maksimum dikenakan terhadap golongan yang merampas harta rakyat melalui penipuan siber.
“Langkah ini penting demi memelihara ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.