MIRI – “Tak boleh aunty, sebab kami sudah ada janji dengan pesakit.”
Itu jawapan seorang anggota pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) kepada peniaga di Long Siut ketika ditanya mengapa mereka masih meneruskan perjalanan ke Long Lellang, Sarawak walaupun keadaan cuaca ketika itu kurang baik akibat jerebu.
Memetik laporan The Borneo Post, peniaga berkenaan, Bungan Tegong, 61, berkata, helikopter FDS terbabit sempat mendarat di Long Siut sekitar tengah hari Selasa sebelum kru singgah di kedai runcit miliknya untuk berehat, minum dan membeli beberapa barangan.
Menurut Bungan, kru terbabit berada di kedainya kira-kira sejam dan beliau sempat berbual dengan seorang anggota wanita yang memakai tudung.
“Dia beritahu saya mereka akan pergi ke Long Lellang. Dia juga bertanya sama ada saya pernah pergi ke sana.
“Saya beritahu dia saya tidak pernah ke sana. Kemudian saya bertanya berapa lama penerbangan dari Long Siut ke Long Lellang dan dia menjawab kira-kira 10 minit,” katanya.
Ujar Bungan, dia mengenali juruterbang terbabit yang sering mengendalikan penerbangan FDS dan kerap berhenti di Long Siut untuk mengisi minyak.
Menurutnya, kru berkenaan turut memaklumkan keadaan cuaca kurang baik akibat jerebu sebelum mereka berlepas.
“Saya bertanya kepada mereka mengapa masih meneruskan perjalanan jika mereka tahu keadaan cuaca terjejas akibat jerebu.
“Salah seorang daripada mereka menjawab, ‘Tak boleh aunty, sebab kami sudah ada janji dengan pesakit’,” katanya.
Helikopter berkenaan kemudian meneruskan penerbangan ke Long Lellang sebelum terhempas di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOL) Long Lellang, Sarawak.
Long Siut merupakan penempatan masyarakat Kenyah di kawasan pedalaman Baram, kira-kira sehari perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Long Lellang.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan lima individu berada di dalam helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang.
CAAM berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Helikopter buatan Jerman itu dikenal pasti mempunyai nombor pendaftaran 9M-LLF.
Juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham yang mengendalikan helikopter berkenaan disahkan terbunuh dalam nahas berkenaan bersama pegawai perubatan, Dr Dr Ainul Baraah Kamaruddin serta dua jururawat, Alexson Adit, Debra Moset dan Jessie Paya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa
'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Nahas helikopter: 'Dr Ainul mahu sambung belajar jadi doktor pakar' - Bapa kongsi perbualan terakhir
Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu