BAGAN SERAI - Kapasiti habitat orang utan Borneo di Bukit Merah berpotensi ditingkatkan sehingga 60 ekor pada masa hadapan menerusi penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan MK Land Holdings Berhad (MK Land).
MK Land dalam kenyataan memaklumkan, cadangan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat itu menerusi Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) dalam memperkukuh usaha pemuliharaan spesies tersebut di negara ini.
"Pemuliharaan orang utan bukan hanya tentang menyelamatkan satu spesies sebaliknya menjaga sebahagian daripada apa yang menjadikan Malaysia kaya dengan khazanah alam untuk diwarisi kepada generasi akan datang.
"Selain itu media turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan fakta dan pengetahuan kepada masyarakat agar orang utan tidak hanya dilihat sebagai haiwan di pusat pemuliharaan, tetapi sebahagian daripada warisan alam negara," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Terdahulu syarikat tersebut menerusi YPOUBM menganjurkan Program Kesedaran Konservasi Pulau Orang Utan dengan menghimpunkan 50 pengamal media daripada pelbagai organisasi bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai usaha pemuliharaan haiwan itu di Bukit Merah.
Ia termasuk cara penjagaan dan pengurusan orang utan Borneo dalam habitat dilindungi, kaedah pemuliharaan serta komitmen yang dilaksanakan secara berterusan.
Pulau Orang Utan Bukit Merah yang dibuka kepada orang ramai sejak tahun 2000 menjadi habitat kepada 15 ekor orang utan Borneo dengan penjagaan haiwan berkenaan disokong oleh 17 kakitangan, termasuk tujuh renjer dan dua petugas veterinar.
Selain penjagaan harian, usaha pemuliharaan di pulau itu turut melibatkan aspek rehabilitasi dan pengayaan habitat bagi memastikan keperluan serta kesejahteraan orang utan terus diberi perhatian.
Sementara itu YPOUBM berkata, masyarakat juga berperanan dalam memastikan kelangsungan usaha pemuliharaan bermula dengan mengenali spesies, memahami cabaran dihadapi dan berkongsi pengetahuan dengan orang di sekeliling.
"Orang utan bukan milik mana-mana pihak, ia milik kita semua sebagai rakyat Malaysia. Usaha pemuliharaan wajar menjadi titik pertemuan yang menyatukan pelbagai pihak, bukan ruang yang dibatasi kepentingan atau perbezaan tertentu.
"Apa yang lebih penting ialah mencari titik tengah untuk berbincang, berkongsi kepakaran dan menyatukan usaha demi kepentingan spesies serta kelangsungan habitatnya," menurutnya.